AKSI Nur Shamie ketika di saingan separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO AP
AKSI Nur Shamie ketika di saingan separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO AP
Asrol Awang


Kuantan: Pemain Harimau Malaya, Nur Shamie Iszuan diumumkan pemain baharu skuad Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), pemain berusia 27 tahun akan memperkasakan skuad Tok Gajah.

"Selamat datang Nur Shamie Iszuan ke Darul Makmur. Kelab berbesar hati mengumumkan telah mengikat pemain sayap kanan dari Kuching ini dengan kontrak dua tahun.

"Berusia 27 tahun, Nur Shamie merupakan tonggak utama Sarawak United musim lalu dan baru-baru ini telah memperkuatkan Harimau Malaya di Piala AFF 2022.

"Lincah dan licik, semoga Nur Shamie dapat meneruskan sentuhan cemerlangnya bersama SPFC, Hogoh Tok Gajah Hogoh," katanya.

Sebelum ini Sri Pahang mengumumkan empat pemain berpengalaman menyarung jersi skuad berkenaan.

Mereka adalah penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan serta tiga pemain pertahanan iaitu Syazwan Andik Ishak, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Dengan kehadiran lima pemain berpengalaman termasuk gandingan pemain import dan pemain sedia ada, ia diyakini membantu membentuk skuad lebih mantap musim ini.

Pada masa sama, Sri Pahang mempertaruhkan lima pemain import iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Lucas Silva (Brazil), Michael Glassock (Australia) dan Kevin Ingreso (Filipina).

Berdasarkan rekod musim lalu, Sri Pahang menamatkan kedudukan di tempat ketujuh dalam saingan Liga Super dan terkandas pada pusingan awal Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 11:04 AM