RONALDO akan memegang rekod pemain termahal dunia. FOTO AFP
RONALDO akan memegang rekod pemain termahal dunia. FOTO AFP
Agensi

Doha: Cristiano Ronaldo mencapai persetujuan muktamad untuk menyertai Al-Nassr Januari ini menurut laporan media Sepanyol.

Pemain berusia 37 tahun itu sedang mencari kelab baharu selepas kontraknya bersama Manchester United ditamatkan bulan lalu.

United bertindak pantas menamatkan perjanjian bersama Ronaldo yang bernilai melebihi £500,000 (RM2.67 juta) seminggu dan masih lagi berbaki tujuh bulan sebagai tindak balas komennya ketika ditemubual Piers Morgan di mana dia mengkritik Erik ten Hag dan pemilik kelab.

Minggu lalu, Marca melaporkan bahawa Ronaldo sudah menerima tawaran kontrak bernilai £432 juta (RM2,3 bilion) dari Al-Nassr.

Akhbar Sepanyol itu kini mendakwa Ronaldo sudah mencapai persetujuan muktamad dengan kelab Arab Saudi dan akan menyertai kelab itu 1 Januari ini.

Ronaldo, pemenang Ballon d'Or lima kali, akan menandatangani kontrak selama dua setengah tahun bernilai £173 juta (RM924.6 juta) setiap musim.

Menurut senarai Forbes 2022, perpindahan itu akan menjadikan Ronaldo sebagai pemain yang menerima bayaran tertinggi di dunia dan mendahului Lionel Messi, £105m (RM561.2 juta) di Paris Saint-Germain tahun ini dan pemain Los Angeles Lakers, LeBron James, yang menerima £98 juta (RM523.8 juta).

Al-Nassr adalah salah satu pasukan paling berjaya di Arab Saudi setelah memenangi kejuaraan liga sembilan kali.

Ronaldo mendesak untuk meninggalkan United sejak musim panas tetapi ejennya gagal menemuinya kelab baharu walaupun berbincang dengan beberapa pasukan terkemuka Eropah termasuk Chelsea, Bayern Munich dan PSG.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 12:46 PM