MINTAH tekad mahu jadi peledak berbisa Terengganu FC. -FOTO Malik Muhamad
MINTAH tekad mahu jadi peledak berbisa Terengganu FC. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang kembali menyarung jersi Terengganu FC (TFC) tekad untuk bergelar 'mesin' pencetak gol skuadnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2021 itu berkata, kehadiran dua lagi bintang import, Ivan Mamut dari Croatia dan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bakal menambah lagi persaingan untuk merebut posisi jentera serangan skuad Penyu.

Malah katanya, sengat skuad kendalian jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner pasti lebih tajam terutama bakal beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selain Liga M.

Pada pertengahan musim lalu, bekas penyerang pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II) itu dipinjamkan kepada pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan berjaya membantu pasukan itu mara ke pentas final Piala AFC sebelum tumpas 3-0 kepada kelab dari Oman, Al-Seeb.

"Saya begitu gembira kembali bersama keluarga TFC dengan menyarung skuad ini, lagipun ada banyak perubahan dalam pasukan ini, ianya bagus untuk perkembangan pasukan yang bakal bersaing di pentas Asia.

"Namun seperti yang anda boleh lihat, kita perlu melakukan lebih daripada apa yang pasukan lakukan pada tahun lepas kerana musim ini ramai pemain baharu dan ini sudah tentu mengambil sedikit masa untuk tempoh penyeseuaian diri bersama rakan sepasukan, tapi saya percaya barisan kejurulatihan ada ramuannya yang tersendiri.

"Malah kehadiran dua lagi penyerang, Adisak dan Mamut, persaingan untuk merebut posisi itu pasti lebih mencabar, jadi saya perlu sentiasa bersedia dengan situasi itu dengan aksi terbaik," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, Kuala Nerus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 12:55 PM