ANTARA pemain import yang membarisi skuad TFC musim 2023. FOTO GHAZALI KORI
ANTARA pemain import yang membarisi skuad TFC musim 2023. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Naib juara Piala Malaysia musim ini, Terengganu FC (TFC), mengumumkan enam tonggak import dan lima pemain tempatan tidak lagi bersama pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2024.

Turut tidak berada dalam senarai skuad itu ialah pemain naturalisasi dari Kosovo, Liridon Krasniqi yang dikatakan bakal menyarung jersi pasukan Selangor FC pada musim baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, lima pemain tempatan yang dilepaskan termasuk bekas kapten skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan, Adib Zainuddin, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, Mohd Rahmat Makasuf, Azarul Nazarith Azhar dan penjaga gol, Shafawi Mohamad.

Jelas Mohd Sabri, enam pemain import yang dilepaskan termasuk kapten musim 2023, Habib Haroon, Sony Norde, Jordan Mintah, Sardor Kulmatov, Omid Nazari dan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

"Enam tonggak import dan lima pemain tempatan serta seorang pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi tidak lagi bersama pasukan dalam kancah Liga M 2024.

"Terengganu Football Club ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya buat semua pemain yang telah bersama kelab ini dan bakal meninggalkan kelab untuk musim hadapan," kata Mohd Sabri menerusi kenyataan media rasmi kelab itu petang ini.

Terdahulu skuad Penyu sudah menyambung kontrak ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner selain mengekalkan dua tonggak import iaitu penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.

Sebelum ini, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) kelahiran Terengganu, Safawi Rasid mengesahkan dia bakal menyarung jersi skuad TFC selepas tujuh musim berkelana di perantauan manakala rakan sepasukannya, Akhyar Rashid hampir pasti mengikut jejaknya dengan menyarung jersi skuad Penyu.

Musim 2024 menyaksikan skuad itu bakal mengamalkan langkah penjimatan dalam perbelanjaan apabila bakal menyenaraikan lima atau enam pemain import berbanding sembilan pada musim 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 4:57 PM