LIRIDON diperkenalkan secara rasmi oleh TFC. FOTO FB Terengganu FC
LIRIDON diperkenalkan secara rasmi oleh TFC. FOTO FB Terengganu FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Desas-desus mengenai pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi bersama Terengganu FC (TFC) akhirnya terjawab apabila pemain itu sah menyarung jersi pasukan itu secara pinjaman daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini.

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Kosovo itu 'dirantai' selama semusim sekali gus melengkapkan senarai pemain skuad naib juara Piala FA dan Liga Super musim lalu itu.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh hari ini.

"TFC bersetuju menandatangani kontrak pemain tengah, Liridon Krasniqi secara pinjaman daripada pasukan JDT selama semusim sekali gus melengkapkan senarai pemain skuad kendalian Tomislav Steinbrukner bagi musim 2023.

"Liridon yang sebelum ini beraksi bersama kelab Khon Kaen United FC dalam Liga Thailand secara pinjaman musim lalu dilihat calon yang sesuai untuk membantu barisan penyerang sebagaimana yang dinginkan jurulatih.

"Kita harapkan kehadiran pemain tinggi lampai yang berpengalaman luas beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) itu mampu menambah kekuatan pasukan bagi mengharungi kancah Liga M dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

"Kita juga turut mengharapkan bekas pemain kelab Newcastle Jets dalam Liga Australia musim 2021 dapat menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bersama rakan sepasukannya terutama TFC bakal membuat perhitungan dengan JDT untuk merebut Piala Sumbangsih pada 24 Februari ini," katanya.

Sementara itu Liridon berjanji akan memanfaatkan peluang beraksi dengan pasukan itu dengan sebaik mungkin bagi memastikan sasaran skuad baharunya itu tercapai.

Pemain yang pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Melaka United FC (MUFC) itu juga tekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan TFC.

Katanya corak permainan yang diterapkan Steinbrukner menarik minatnya untuk bersama skuad itu musim ini.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan TFC kerana memberi peluang kepada saya menyarung jersi pasukan ini, saya akan membalas kepercayaan yang diberikan itu dengan aksi terbaik bagi memastikan sasaran pasukan tercapai.

"Lagipun saya bagaikan tidak sabar untuk bergandingan dengan Habib Haroon, Adisak Kraisorn dan Sony Norde selain mahu berguru dengan jurulatih kelahiran Croatia itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 6:33 PM