FAISAL Halim. -FOTO NSTP
FAISAL Halim. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Sepang: Tiga mata pertama menjadi buruan skuad Harimau Malaya apabila turun menentang Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium Thuwunna, Rabu ini.

Tonggak sayap negara, Faisal Halim berkata, kemenangan pertama itu cukup penting bagi memastikan skuad kendalian Kim Pan-gon tidak berdepan sebarang masalah dalam tiga lagi baki aksi peringkat kumpulan selepas itu.

Jelasnya, dengan jadual padat yang bakal ditempuhi sepanjang kempen ini, kemenangan ke atas Myanmar pastinya dapat membina keyakinan pasukan yang hanya mempunyai tempoh rehat dua hari sebelum turun menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini.

"Kita sedar jadual agak padat dan jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan dan bagi kami sebagai pemain, kami hanya perlu beri tanggungjawab yang betul serta memberikan komitmen yang baik terhadap pasukan.

"Ketika beraksi dalam Liga Super juga jadual sangat padat namun perlawanan antarabangsa lebih sukar kerana perlawanan lebih pantas tetapi ini adalah cabaran buat kami sebagai pemain.

"Kami sudah diuji dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini dan kami dapat berikan aksi yang baik dan saya percaya rakan-rakan sudah bersedia dan tidak sabar untuk perlawanan pertama.

"Semua pemain tidak memikirkan tentang jumlah jaringan sebaliknya kami hanya fokus untuk membawa pulang tiga mata dan bermain tanpa tekanan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selain berdepan Myanmar dan Laos, pasukan negara akan terbang ke Hanoi untuk bertemu Vietnam pada Selasa depan sebelum menutup kempen kumpulan dengan menentang Singapura di SNBJ, 3 Januari nanti.

Faisal yang sudah meledak lima gol buat pasukan kebangsaan termasuk ketika membenam Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan minggu lalu percaya, tiga mata penuh ke atas Myanmar akan mengurangkan tekanan skuad negara.

"Kami perlu bekerja keras dalam perlawanan pertama ini kerana ia akan menentukan kekuatan sebenar pasukan dan keputusan positif akan membantu kami bermain tanpa tekanan pada perlawanan kedua nanti.

"Tiada masalah dari sudut keserasian kerana kami sudah empat minggu bersama dan ini adalah masa terbaik untuk kami buktikan kami layak untuk berada dalam skuad negara dan saya harap karektor pasukan semakin kuat tanpa mengira siapa lawan.

"Semua tidak sabar untuk beraksi dan siapa yang mendapat peluang perlu berikan yang terbaik dan perlu gunakan peluang ini sebagai batu loncatan buat karier masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 1:30 PM