SNBJ mampu tampung 90,000 penonton.
SNBJ mampu tampung 90,000 penonton.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetap menjadi pilihan utama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dipilih sebagai tuan rumah dua aksi Piala AFF yang dijadual berlangsung pada hujung Disember ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, SNBJ tetap menjadi keutamaan sebagai 'home' untuk skuad Harimau Malaya.

Katanya, berdasarkan kepada kemudahan terdapat di venue terbabit termasuk kapasiti tempat duduk hampir 90,000 dilihat opsyen tepat untuk menganjurkan perlawanan Piala AFF nanti.

Begitupun, disebabkan SNBJ sudah ditempah lebih awal oleh pihak luar untuk mengadakan aktiviti di lokasi itu, beliau sedang berunding dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.

"SNBJ tetap jadi keutamaan tapi kita perlu tengok terlebih dahulu keadaan nanti," katanya kepada Arena Metro.

Difahamkan beberapa hari sebelum aksi pertama Kumpulan B menentang Laos pada 24 Disember depan, satu konsert bakal diadakan yang menyaksikan permukaan padang akan ditutup, sekali gus memerlukan beberapa hari bagi memulihkan semula rumput di SNBJ.

Jelas Azman, jika SNBJ tidak dapat digunakan, terdapat empat pilihan lain babitkan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium di Terengganu, Stadium Hang Jebat di Melaka dan Stadium Sultan Ibrahim di Johor.

"Tiada kebimbangan mengenai venue alternatif. Kita akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk musim hujan ketika ini," katanya.

Jelasnya, keputusan pilihan venue akan diumumkan dalam masa terdekat selewat-lewatnya hari ini.

Dalam kempen Piala AFF kali ini, saingan bakal kembali menggunakan format lama dengan semua pasukan diberi peluang menjadi tuan rumah.

Skuad Harimau Malaya akan menanti kunjungan dua pasukan iaitu Laos dan Singapura (3 Januari 2023), manakala dua lagi aksi menyaksikan pasukan kendalian Kim Pan-gon akan bertandang ke Myanmar (21 Disember) dan Vietnam (27 Disember).

Pada edisi lalu di Singapura yang dijalankan secara berpusat, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan selepas sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 6:32 PM