PEMAIN negara menuju ke hotel penginapan sejurus tiba di Hanoi pagi tadi. FOTO FAM
PEMAIN negara menuju ke hotel penginapan sejurus tiba di Hanoi pagi tadi. FOTO FAM
Zulfaizan Mansor


Hanoi: Selain perlu berperang dengan jadual padat, skuad Harimau Malaya juga dilihat terpaksa berdepan cabaran cuaca sejuk dan berangin di Hanoi.

Keadaan cuaca di sini boleh mencecah sehingga 16 darjah celsius di sebelah malam dengan skuad kendalian Kim Pan Gon akan berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium My Dinh, Selasa ini.

Harimau Malaya yang meraih kemenangan besar ke atas Laos dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam tiba di Hanoi tengah hari tadi.

Malah, skuad negara sudah memulakan latihan pertama di Hanoi, malam ini, namun ia hanya membabitkan 10 pemain manakala 12 lagi pemain yang beraksi semalam difahamkan melakukan sesi pemulihan di hotel.

Pasukan negara pernah menentang Vietnam dalam keadaan cuaca seakan sama ketika perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 yang menyaksikan skuad 'Golden Star Warriors' menang 1-0 sekali gus muncul juara dengan keputusan agregat 3-2.

Malaysia membuka kempen Piala AFF 2022 dengan menewaskan Myanmar 1-0 di Yangon, Rabu lalu sebelum membelasah Laos 5-0, sekali gus berada di kedudukan teratas kumpulan.

Sementara itu, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi satu perlawanan berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan mengumpul tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 9:56 PM