Pertahanan Perancis, Raphael Varane pada sidang media di Stadium Jassim-bin-Hamad Doha. FOTO AFP
Pertahanan Perancis, Raphael Varane pada sidang media di Stadium Jassim-bin-Hamad Doha. FOTO AFP
Reuters

Doha: Perancis sedar Maghribi adalah lebih daripada sebuah pasukan yang kental bertahan ketika mereka melakukan persediaan untuk pertembungan separuh akhir Piala Dunia, awal pagi Khamis ini.

Maghribi mara ke peringkat empat terbaik dengan menewaskan Sepanyol dan Portugal pada saingan kalah mati dan hanya melepas satu gol dalam kejohanan itu.

Peralihan pantas dan keselesaan mereka dalam penguasaan bola sangat mengagumkan di Qatar dan tiada peluang juara bertahan, Perancis akan mengambil mudah perlawanan di Stadium Al Bayt.

"Kami mempunyai pengalaman yang banyak untuk mengelak daripada terkena perangkap ini (kerana terlalu yakin). Mereka mara ke peringkat ini atas sebab.

"Mereka bertahan dengan sangat baik, ia pastinya sangat sukar. Kami ketua dalam pasukan, harus bersedia dengan semua pemain untuk satu lagi pertarungan.

"Ia adalah saingan separuh akhir Piala Dunia, anda perlu memberikan semuanya sehingga berakhir jika anda mahu ke final," kata pertahanan tengah dan juga timbalan kapten Perancis, Raphael Varane pada sidang media hari ini.

Varane tahu pasukan kendalian Walid Regragui itu akan tampil dengan keyakinan tinggi.

"Mereka mencipta sejarah bola sepak Maghribi, mereka mempunyai kekuatan kolektif dengan persembahan yang memberikan mereka banyak keyakinan.

"Mereka sangat cergas dari segi fizikal, cukup merbahaya dengan serangan balas dan juga set pieces," katanya.

Sementara itu, pertahanan kanan Perancis, Jules Kounde yang akan ditugaskan untuk menyekat Sofiane Boufal di bahagian sayap, tidak perlu diingatkan mengenai kualiti Maghribi.

"Saya tidak bimbang tetapi kami tahu mereka menewaskan pasukan gergasi untuk berada di tahap ini dan kami memandang serius aksi ini.

"Bukan lagi kejutan untuk melihat mereka di sini. Mereka berhak berada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 11:28 PM