LUQMAN Hakim Shamsudin. -FOTO Bernama
LUQMAN Hakim Shamsudin. -FOTO Bernama
Syazwan Msar mohd


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara E Elavarasan menjelaskan ketiadaan pemain yang berpangkalan di Belgium Luqman Hakim Shamsudin dalam senarai panggilan pada kali ini bukanlah disebabkan dia digugurkan.

Namun, katanya, pemain berusia 20 tahun itu sebenarnya tidak lepaskan oleh kelabnya KV Kortrijk berikutan jadual perlawanan yang penuh sekali gus kelibat Luqman tidak kelihatan pada kem latihan kali ini.

"Tahun ini kita ada 'call up' Luqman tapi kelab dia tak lepaskan sebab dia maklumkan ada banyak perlawanan kompetitif.

"Pada masa sama, kita juga pernah panggil Luqman untuk skuad senior sebelum ini tapi kelab tidak melepaskannya," katanya, pada sesi latihan skuad B-23, semalam.

Mengikut rekod, Elavarasan memanggil sebanyak 25 pemain untuk menjalani kem latihan pusat pertama bermula 27 November hingga 6 Disember sebagai persiapan menghadapi beberapa pertandingan antarabangsa termasuk Piala AFF B-23 2023, Sukan Sea 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Selain itu, Elavarasan berkata, skuadnya akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Liga M3 iaitu PIB FC.

"Perlawanan persahabatan yang diatur untuk pasukan ini lebih kepada mahu pemain dapat menyesuaikan diri dengan sistem permainan kita.

"Kita ada perlawanan persahabatan dengan PIB FC untuk melihat adakah mereka sudah adaptasi dalam tempoh seminggu latihan," katanya.

Menurutnya, walaupun kejohanan yang akan disertai lambat lagi tetapi kem latihan lebih awal ini adalah bagus untuk memberi pemain pendedahan selain dapat membuat persiapan lebih awal.

Malah, seorang pemainnya iaitu Aliff Najmi Shaaini (Kelantan FC) bakal diserap ke skuad utama kendalian Kim Pan-gon selepas perlawanan persahabatan antara skuad B-23 dan skuad senior baru-baru ini.

"Ada satu pemain yang diserap ke skuad senior iaitu Aliff Najmi Shaaini dari Kelantan FC semasa kita menentang skuad senior baru-baru ini. Mungkin lagi dua pemain akan hantar untuk sertai skuad senior selepas kem latihan ini untuk pendedahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 1:38 PM