ELAVARASAN dilantik  September lalu bagi menggantikan Maloney yang melepaskan jawatannya Julai lalu. FOTO AIZUDDIN SAAD
ELAVARASAN dilantik September lalu bagi menggantikan Maloney yang melepaskan jawatannya Julai lalu. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tugas mencabar bakal menanti pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan menjelang kem latihan pertama pasukan itu bermula esok.

Jelas Elavarasan, dirinya diamanahkan untuk menerapkan DNA atau corak permainan sama yang digunakan oleh skuad senior Harimau Malaya, di mana beliau juga adalah penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon.

"Tugas saya adalah untuk memastikan kesinambungan taktikal daripada skuad senior dan skuad B-23 nampak seimbang dan saya harap tempoh latihan kali ini digunakan sebaiknya oleh barisan pemain nanti," katanya yang dilantik pada September lalu bagi menggantikan Brad Maloney yang melepaskan jawatannya Julai lalu.

Panggilan latihan pusat ini adalah sebagai persiapan awal apabila sepanjang musim depan skuad B-23 dijangka mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat bermula termasuk Piala AFF B-23; Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja; Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kelayakan Piala Asia/Sukan Olimpik B-23 2024.

Dalam skuad itu, Elavarasan akan dibantu Juan Torres Garrido sebagai penolong jurulatih, sambil Kris Yong menjadi jurulatih penjaga gol, Ji-Hyeon Park jurulatih kecergasan dan Lee Je-yoon akan menguruskan hal berkaitan analisis prestasi.

Menurutnya lagi, seramai 25 pemain yang dipanggil ini akan dinilai dan beliau merancang untuk sekurang-kurangnya mengadakan latihan pusat sebulan sekali.

"Ini adalah kali pertama kami mengadakan kem latihan pusat skuad B-23 sejak saya dilantik menjadi ketua jurulatih dan kita akan bersama selama 10 hari bermula esok.

"Walaupun tempoh agak singkat, saya anggap ia sudah cukup untuk mengenal pasti pemain selain membuat sedikit sebanyak penilaian dalam mempersiapkan pasukan sebelum mengharungi temasya Sukan Sea 2023 nanti.

"Kalau boleh, saya mahu skuad B-23 negara dikumpulkan sebulan sekali kerana saya mahu barisan pemain dapat menyerap falsafah bola sepak atau DNA seperti yang dimiliki oleh skuad senior," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 6:42 PM