PERLAWANAN persahabatan antara pemain skuad B-23 negara dengan pemain skuad senior. FOTO FB FAM
PERLAWANAN persahabatan antara pemain skuad B-23 negara dengan pemain skuad senior. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Corak permainan berintensiti tinggi diterapkan kepada pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bagi memastikan mereka tidak berhadapan masalah apabila melangkah ke 'alam' pasukan senior kelak.

Pengendali skuad B-23 negara, E Elavarasan berkata, perlawanan persahabatan membabit skuad B-23 dan pasukan senior baru-baru ini membolehkan barisan pemain muda negara terdedah dengan corak permainan lebih agresif dan sistematik.

Elavarasan yang juga pembantu kepada jurulatih skuad senior kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui situasi itu sebagai satu perkembangan positif walaupun ada banyak lagi penambahbaikan harus dilakukan bagi membolehkan mereka benar-benar bersedia 'dinaikkan pangkat'.

"Kami menyediakan skuad B-23 kepada corak permainan berintensiti tinggi dan agresif. Ini satu pendedahan yang baik supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan situasi seperti ini yang pasti akan dihadapi mereka dalam kejohanan akan datang.

"Saya lihat pemain dapat menyesuaikan diri dengan perkara ini dan dapat memahami maklumat diberikan. Tetapi sudah tentu ada banyak kelemahan kerana kita tidak boleh menjadi bagus hanya selepas seminggu, satu bulan atau enam bulan," katanya.

Elavarasan mengakui kem berjangka pendek seperti itu perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan maklumat mahu disalurkan dapat terus 'ditanam' kepada barisan pemain muda negara.

Katanya, pihaknya memerlukan masa untuk memberikan lebih banyak maklumat serta panduan kepada pemain untuk mengikut sistem itu.

"Apa yang penting, ia perlu dilakukan secara kerap supaya pemain dapat terus memahaminya dan selesa dengan sistem yang diajar kepada mereka," katanya.

Skuad B-23 akan mengharungi 2023 dengan 'sibuk' apabila berentap dalam beberapa pertandingan seperti Sukan Sea di Kemboja pada Mei, Kejuaraan B-23 AFF dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada September.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 5:23 PM