ELAVARASAN (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad B-23 negara di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, petang semalam. FOTO FB FAM
ELAVARASAN (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad B-23 negara di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, petang semalam. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, E Elavarasan mahu menguji kombinasi pemain baharu dan lama sepanjang 10 hari kem latihan pusat yang bermula, Ahad lalu.

Selain mahu memastikan barisan pemain B-23 berada pada tahap optimum, beliau mempunyai tugas lain iaitu menyediakan tonggak pelapis yang boleh diserap untuk beraksi bersama skuad senior.

Elavarasan yang juga penolong jurulatih skuad senior mengakui semua pemain yang dipanggil menyertai kem latihan kali ini memberikan komitmen sangat tinggi selain cepat memahami corak permainan diharapkan.

"Kalau pemain yang ada nama kita sudah tahu tahap permainan mereka, kita bagi peluang kepada muka baharu untuk cuba dalam kem kali ini.

"Jika kita tengok pemain seperti Mukhairi Ajmal (Mahadi) dan Azam (Azmi Murad) sepatutnya boleh bermain dalam kem ini, tapi kita lepaskan mereka ke pasukan utama (Harimau Malaya) kerana mereka ada keupayaan untuk bermain dalam skuad utama," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, di sini, semalam.

Kem latihan itu adalah persiapan awal skuad B-23 yang akan mengharungi beberapa pertandingan antarabangsa penting tahun depan seperti Kejuaraan AFF B-23 2023, Sukan Sea 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Selain itu, Elavarasan turut berterima kasih kepada semua persatuan kerana sudi melepaskan pemain muda mereka untuk menyertai kem latihan pusat yang akan berakhir pada 6 Disember ini.

"Ini kem pertama walaupun Sukan Sea pada Mei tahun depan. Pemain pun banyak berkorban datang ke kem ini sebab sekarang sudah habis musim.

"Terima kasih kepada semua persatuan dan terima kasih kepada semua pemain yang berkorban masa mereka untuk bersama kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:08 PM