ALIFF berjaya menarik perhatian Pan-gon untuk menjalani latihan pusat bersama skuad senior. FOTO FB FAM
ALIFF berjaya menarik perhatian Pan-gon untuk menjalani latihan pusat bersama skuad senior. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain skuad bawah 23 tahun (B-23), Aliff Izwan Yuslan dinaikkan pangkat apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang dalam persiapan menghadapi Piala AFF 2022.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media memaklumkan, Aliff yang juga pemain Selangor II berjaya menarik perhatian pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk diserap ke dalam skuad senior berdasarkan kepada prestasinya, baru-baru ini.

"Pemain terbabit menarik perhatian Pan-gon ketika skuad Harimau Malaya mengadakan sesi latihan bersama dengan pasukan B-23 kebangsaan kendalian E Elavarasan serta perlawanan latihan membabitkan kedua-dua pasukan pada 2 Disember lalu.

"Malah selepas berakhirnya kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan selama 10 hari bermula 27 November lalu dan berakhir hari ini, Elavarasan yang juga penolong jurulatih Harimau Malaya turut mencadangkan kepada Pan-gon untuk penyenaraian pemain ini ke skuad senior," katanya.

Mengikut rekod, Aliff, 18, akan melapor diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya esok bersama penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC (TFC) yang namanya memang tersenarai dalam skuad senior.

Sementara itu, Pan-gon terpaksa menggugurkan pemain sayap TFC, Faiz Nasir yang mengalami masalah kesihatan, sekali gus tidak dapat meneruskan latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya biarpun melapor diri pada 29 November lalu.

Berikutan perkembangan terbaharu ini, jumlah pemain dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini ialah 28 pemain termasuk Dion Cools yang akan melapor diri pada 16 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:33 PM