LUQMAN Hakim Shamsudin. FOTO Bernama
LUQMAN Hakim Shamsudin. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ternyata benar-benar serius menghadapi saingan Piala AFF B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 apabila memanggil pulang penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dari Iceland.

Tindakan memanggil pulang pemain yang berpengkalan di Eropah itu pastinya menambah sengat pasukan selepas gagal menyerlah di temasya Sukan Sea di Kemboja bulan lalu.

Menerusi senarai yang diumumkan hari ini, pengendali pasukan E Elavarasan menyenaraikan 26 pemain untuk kem latihan pusat selama seminggu bermula 12-19 Jun ini.

Daripada senarai itu, Elavarasan mengekalkan 15 pemain yang menyertai pasukan Sukan SEA dan memanggil beberapa muka baharu antaranya Muhammad Abu Khalil, Muhammad Aiman Farhan Muhammad Fauzi dan Muhammad Hariz Mansor.

Luqman dan Muhammad Rahadiazli Rahalim yang terlepas menyertai skuad Sukan Sea sebelum ini, kembali menyertai kem latihan pusat pasukan B-23 negara.

Pasukan diundi dalam Kumpulan B saingan Piala AFF B-23 dan bakal bertemu Indonesia pada 18 Ogos dan Timor-Leste pada 22 Ogos di Chonburi, Thailand.

Juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) layak ke pusingan separuh akhir saingan itu.

Kelayakan Piala Asia B-23 pula akan dilangsungkan pada bulan September di Bangkok, di mana Malaysia sekumpulan dengan tuan rumah, Filipina dan Bangladesh dalam Kumpulan H.

Juara daripada 11 kumpulan kelayakan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik bersama Qatar selaku tuan rumah bagi melengkapkan 16 pasukan terbaik.

Piala Asia itu juga adalah laluan untuk ke Sukan Olimpik Paris, di mana tiga pasukan terbaik akan meraih tiket ke temasya dunia itu yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:07 PM