BIDOGLIO mengemudi JDT memenangi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia, musim ini. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
BIDOGLIO mengemudi JDT memenangi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia, musim ini. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keputusan Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih pada pertengahan musim antara inti pati penting kejayaan skuad Harimau Selatan itu menyapu bersih semua kejuaraan Liga Malaysia, musim ini.

Bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam berkata, beliau melihat pengendali dari Argentina itu banyak membuat variasi dalam taktikal JDT yang menyebabkan pihak lawan sukar menduga corak permainan mereka.

Tambahnya, itu menjadi faktor penting JDT mampu mencipta sejarah tersendiri pada musim ini apabila langsung tidak tewas dalam semua 35 perlawanan domestik termasuk Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

"Satu-satu pasukan yang mahu berjaya, mereka tidak boleh mengekalkan corak permainan sama atau 'stereotype' dalam setiap perlawanan kerana lawan sudah boleh membaca.

"Apa yang menyebabkan JDT mampu melakar rekod sempurna musim ini adalah semasa mereka menukar jurulatih dan kehadiran jurulatih baharu (Bidoglio) yang berjaya menukar sistem dan cara pasukan bermain.

"Itu membuatkan pasukan lain sukar membuat analisis yang tepat terhadap JDT serta membuatkan mereka dapat merangkul kejuaraan lebih mudah musim ini.

"Sebelum ini, mereka bergelut dan ini menjadi punca tewas di aksi final Piala Malaysia musim lalu, namun kali ini JDT lebih sempurna kerana Hector membawa variasi serta melakukan pertukaran dalam sesuatu perlawanan," katanya.

Beliau membuat rumusan itu bagi saingan Liga Malaysia 2022 yang berakhir 26 November lalu dengan JDT merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor FC, 2-1 di final.

Malah, kejayaan 'quadruple' itu adalah yang pertama kali dalam sejarah pasukan JDT sejak dijenamakan dari musim 2013 malah pasukan reserve, JDT II turut merangkul kejuaraan Liga Perdana.

Sementara itu, Shahrom memilih Selangor FC dan Negeri Sembilan FC antara dua pasukan berjaya memenuhi sasaran lebih baik daripada jangkaan awal manakala Penang FC sebagai pasukan paling mengecewakan untuk musim 2022.

"Kita tahu Selangor mengalami kegagalan sehingga ke pertengahan musim, tetapi dengan mengekalkan pemain sama, jurulatih baru, Tan Cheng Hoe memberikan satu keputusan di luar jangkaan peminat.

"Sembilan perlawanan tidak kalah dan berjaya mara ke final Piala Malaysia, bagi saya itu sesuatu yang luar biasa dan sukar untuk dibuat oleh mana-mana jurulatih.

"Bagi Negeri Sembilan, walaupun baharu dinaikkan ke Liga Super, menduduki tangga keempat adalah satu keputusan cemerlang buat K Devan apabila mengekalkan falsafah bola sepak yang sama.

"Penang FC pula menjadi pasukan paling menghampakan untuk musim ini kerana selepas berada di tempat ketiga musim lalu, mereka mengakhiri saingan di tangga terakhir dan ini satu benda yang tidak patut berlaku.

"Keputusan tidak mengekalkan pemain utama nyata mengganggu rentak pasukan dan prestasi pasukan merosot, ini satu pengajaran kepada pasukan lain agar berhati-hati dalam menukar pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:36 PM