HECTOR Pablo Bidoglio disebut-sebut sebagai pengganti Benjamin Mora untuk membimbing JDT.
HECTOR Pablo Bidoglio disebut-sebut sebagai pengganti Benjamin Mora untuk membimbing JDT.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Siapa pengganti Benjamin Mora bagi membimbing Johor Darul Ta'zim (JDT) mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M), masih menjadi misteri.

Malah, JDT perlu membuat persiapan rapi sebelum menentang kelab dari Jepun, Urawa Red Diamond pada aksi pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pertengahan Ogos ini.

Namun spekulasi pengganti Mora tampak terarah kepada pengendali dari Argentina dan Hector Pablo Bidoglio kemungkinan menjadi pilihan untuk membimbing skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, JDT masih belum membuat pengumuman rasmi selepas mengesahkan pengunduran Mora yang terpaksa berpisah dengan juara lapan kali Liga Super kerana urusan keluarga di Mexico.

Malah, pasukan itu membuka pintu jika pengendali dari Mexico itu ingin kembali ke skuad Harimau Selatan.

Jika benar Bidoglio menjadi pilihan JDT, ia amat bersesuaian untuk meneruskan prestasi memberangsangkan pasukan itu yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini selepas mengharungi 12 perlawanan.

Pengendali kelahiran Rosario, Argentina itu pernah menjadi penolong jurulatih kelab Argentina, Newell's Old Boys pada musim 2013 hingga 2016.

Bidoglio kemudian membantu kelab Argentina, CA Colon sebelum kembali ke Newell's Old Boys bagi mengendali program remaja kelab berkenaan.

Pada musim 2018 hingga 2018, beliau dilantik selaku jurulatih Newell's Old Boys dan kemudian berhijrah ke kelab di Liga Peru, Universidad de San Martin pada musim 2019 hingga 2021.

Tugasan terakhir selaku jurulatih di Amerika Selatan adalah kelab di Ecuador, Sociedad Deportiva Aucas.

Jika menjadi kenyataan, Bidoglia yang pernah membuat 17 penampilan bersama pasukan kebangsaan Venezuela diharap mampu memacu kejayaan JDT memburu kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut selain mara lebih jauh di peringkat Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 12:42 PM