MORA tidak lagi bersama JDT.
MORA tidak lagi bersama JDT.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tindakan menukar bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora secara tiba-tiba pada Julai lalu bukan disebabkan oleh tonggak tengah, Safiq Rahim sebaliknya kerana keharmonian pasukan di bilik persalinan.

Perkara itu didedahkan buat pertama kalinya oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas dua bulan mengunci mulut tanpa menjelaskan cerita sebenar mengapa Mora ditukar ketika kelab itu berada di puncak prestasi.

"Apabila berbincang dengan saya, kami membuat keputusan di mana inilah masa paling tepat dan beliau ingin mencuba karier di tempat lain.

"Saya masih rapat dengan Benjamin Mora. Beliau sudah lama berbincang dengan saya. Apabila rasa masa sudah tamat, apabila tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dan respon daripada pemain adalah lain terhadapnya, maka ia masa yang sesuai untuk berhijrah.

"Kita sudah ada persetujuan di mana pasukan melepaskan kerana kita perlu seorang ketua jurulatih yang boleh menjaga kestabilan pasukan.

"Pemain perlu seorang jurulatih yang boleh memberikan arahan, hormat dan juga menjaga kestabilan bilik persalinan," katanya ketika sesi soal jawab bersama peminat yang diadakan di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Pada Julai lalu, khidmat Mora berakhir secara tiba-tiba selepas mengharungi lima musim dengan penuh cemerlang apabila berjaya menghadiahkan empat kejuaraan Liga Super, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia musim ini.

Tempatnya kemudian diisi oleh Hector Bidoglio dari Argentina yang tidak menunggu lama apabila memenangi Piala FA pada 10 September lalu dengan menewaskan Terengganu FC di pentas final.

Jelas Tunku Ismail, beliau berharap penyokong memberi sokongan penuh kepada Hector kerana ini musim pertamanya dalam saingan Liga Malaysia di mana pengendali itu memerlukan masa menyesuaikan diri dengan suasana baharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:42 AM