BIDOGLIO (kanan) berkata kempen pada musim depan dijangka lebih sengit. FOTO AIZUDDIN SAAD
BIDOGLIO (kanan) berkata kempen pada musim depan dijangka lebih sengit. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan menyapu kesemua kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bukanlah penamat sebaliknya ia permulaan baharu buat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk terus mendominasi saingan pada musim depan.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, kempen pada musim depan dijangka lebih sengit dan beliau mahu pemainnya tidak mendabik dada kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Katanya, selepas ini pemain akan berehat dan bercuti, sebelum kembali menjalani latihan bagi persediaan musim depan.

"Tahun depan kami akan menghadapi musim yang lebih sukar kerana musim ini kami sudah capai sasaran.

"Kami perlu rehat sekarang ini dan pada tahun depan kami akan jadi lebih kuat lagi kerana semua pasukan mahu menang dengan JDT," katanya selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Dalam aksi akhir itu, JDT bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Selangor FC 2-1 hasil jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri, manakala gol Red Giants pula disumbangkan Herlison Caion menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu bermakna skuad Harimau Selatan melengkapkan kejuaraan quadruple apabila menjulang empat trofi dalam semusim bermula Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super bagi menamatkan musim ini dengan lakaran gemilang.

Sementara itu, ditanya mengenai aksi persahabatan antarabangsa dengan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim malam esok, Bidoglio menganggap ia satu lagi aksi penting dan beliau perlu memastikan anak buahnya kembali cergas dalam tempoh 48 jam ini.

"Perlawanan menentang Borussia Dortmund adalah besar untuk JDT dan juga untuk bola sepak Malaysia. Bukan mudah untuk bermain dengan salah sebuah pasukan terbesar di dunia dan kami berasa bangga dapat bermain dengan Dortmund.

"Walaupun sukar untuk kami recover dalam tempoh dua hari dari perlawanan malam ini, tapi kami akan pastikan beri aksi terbaik nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 5:14 PM