AKSI  Al-Dawsari membolosi gawang Mexico.
AKSI Al-Dawsari membolosi gawang Mexico.
AFP

Doha: Mexico berdepan kekecewaan memilukan apabila tersingkir daripada Piala Dunia susulan perbezaan gol walaupun menewaskan Arab Saudi 2-1 dalam aksi terakhir dramatik Kumpulan C, awal pagi tadi.

Dua jaringan babak kedua menerusi Henry Martin dan Luis Chavez mengesahkan kemenangan Mexico di Stadium Lusail tetapi menduduki tempat ketiga di belakang Poland selepas Salem Al-Dawsari menjaringkan gol lewat untuk Arab Saudi.

Mexico berusaha mendapatkan gol ketiga untuk memperbaiki perbezaan jaringan berdasarkan peraturan Fifa bagi mengelakkan tersingkir namun gagal.

"Itu sebabnya kami bekerja keras," kata jurulatih Mexico, Gerardo Martino. "Kami tahu Poland kurang memiliki kad kuning dan ia perlu ketika itu disebabkan keputusan lain.

"Kekalahan ini amat menyedihkan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan kegagalan ini."

Kemenangan Arab Saudi ke atas Argentina dalam aksi pertama mereka antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia tetapi tewas 0-2 kepada Poland pada aksi kedua.

Jurulatih, Herve Renard berkata, penjaga gol Mohamed Al-Owais menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan lebih besar.

"Keputusan ini tidak menggambarkan realiti perlawanan.Kami mungkin tewas lebih teruk jika tidak kerana ketangkasan Al-Owais," kata Renard kepada wartawan selepas tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:18 AM