Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan menewaskan Argentina pada aksi Piala Dunia di Doha. FOTO AFP
Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan menewaskan Argentina pada aksi Piala Dunia di Doha. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengumumkan cuti umum selepas pasukan bola sepak kebangsaan negara itu mengejutkan Argentina 2-1 di Piala Dunia Qatar, hari ini.

"Esok, Rabu adalah cuti umum untuk semua pekerja di sektor awam dan swasta.

"Begitu juga pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di semua peringkat pendidikan," lapor Al-Ekhbariya.

Difahamkan ketika ini pelajar di Arab Saudi sedang menduduki peperiksaan akhir tahun dan ia terpaksa dijadualkan semula.

Skuad Helang itu ketinggalan selepas jaringan penalti Lionel Messi di awal babak permainan namun mereka bangkit melakar kemenangan bersejarah dalam Piala Dunia menerusi dua gol jaringan Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari di Stadium Lusail, Doha.

Arab Saudi yang dibimbing Herve Renard berada di ranking ke-51 dunia, manakala Argentina, hadir dengan reputasi sebagai juara dua kali dan dibarisi pemenang tujuh kali Ballon d'Or, Messi.

Arab Saudi akan bertemu Poland pada Sabtu ini bagi aksi seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 1:55 AM