Penyerang Poland, Robert Lewandowski meraikan jaringan berdepan Arab Saudi. FOTO AFP
Penyerang Poland, Robert Lewandowski meraikan jaringan berdepan Arab Saudi. FOTO AFP
AFP

Doha: Robert Lewandowski menjaringkan gol pertama Piala Dunia sepanjang karier prolifik penyerang itu ketika membantu kemenangan 2-0 Poland ke atas Arab Saudi.

Kemenangan itu sekali gus menafikan kebangkitan wakil Asia yang di gelar 'pembunuh gergasi' selepas kejayaan mengatasi Argentina.

Lewandowski yang juga penyerang Barcelona gagal menahan emosi selepas jaringannya memastikan peluang cerah Poland ke pusingan 16 di Qatar. Dia meledak gol pada minit ke 82 selepas kesilapan dilakukan pemain Arab Saudi, Abdulelah Al-Malki.

Jaringan itu memadamkan memori kegagalannya menyempurnakan penalti ketika Poland seri 0-0 menentang Mexico.

"Saya tidak terkejut (mengenai reaksi Lewandowski) kerana saya tahu dia begitu kecewa pada perlawanan lepas.

"Dia tidak menjaringkan gol pada perlawanan pertama tetapi dia mungkin berupaya mencatat hatrik hari ini.

"Kami sangat gembira untuknya, sama seperti kami sangat simpati untuknya kerana terlepas penalti." kata jurulatih Poland, Czeslaw Michniewicz.

Piotr Zielinski meledak gol pembukaan untuk Poland dan dua percubaan berjaya diselamatkan Wojciech Szczesny selepas menafikan penalti Salem Al-Dawsari pada babak pertama.

"Saya pasti ia (gagal sempurnakan penalti) mengubah banyak perkara. Kami tidak cekap menentang pasukan kuat.

"Tapi kami masih ada harapan, jadi kami akan terus mencuba.. kami tidak akan putus asas." kata pengendali Arab Saudi, Herve Renard.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 1:42 AM