Penyerang Argentina, Lionel Messi (kanan) kecewa selepas tewas kepada Arab Saudi dalam saing Kumpulan C Piala Dunia. FOTO AFP
Penyerang Argentina, Lionel Messi (kanan) kecewa selepas tewas kepada Arab Saudi dalam saing Kumpulan C Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Doha: Arab Saudi menampilkan kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia selepas bangkit menewaskan Argentina yang diketuai Lionel Messi, 2-1, malam ini.

Argentina yang juga juara Copa America tampil pada perlawanan itu dengan rekod cemerlang iaitu 36 perlawanan tanpa tewas dan hampir pasti meneruskan rentak kemenangan selepas Messi menyempurnakan penalti di awal babak permainan.

Skuad kendalian Lionel Scaloni berpeluang mengatasi Arab Saudi pada separuh masa pertama namun tiga gol mereka dibatalkan kerana ofsaid.

Arab Saudi yang berada ranking lebih rendah iaitu ke-51 dunia, menyamakan kedudukan pada awal babak kedua menerusi Saleh Al-Shehri, sekali gus mengejutkan sorakan peminat Argentina.

Namun beberapa minit kemudian skuad Helang itu berada di depan apabila sepakan lencong Salem Al-Dawsari memastikan kemenangan buat pasukan.

Argentina melakukan beberapa percubaan ke gawang gol Arab Saudi namun dinafikan dengan kecemerlangan penjaga gol Mohammed Al-Owais.

"Kadang kala kesemua pemain bintang adalah setara. Hari ini semua pemain bintang adalah setara bagi kami.

"Kami mencipta sejarah dalam bola sepak. Ia akan kekal selamanya, ini sangat penting. Tetapi kami juga harus fikir mengenai perjalanan masa depan. Kami masih mempunyai dua perlawanan yang sukar." kata jurulatih Arab Saudi dari Perancis, Herve Renard.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Argentina, yang hanya satu perlawanan untuk menyamai rekod sepanjang zaman dilakukan Itali iaitu 37 perlawanan tanpa tewas.

Penyerang Argentina, Lautaro Martinez berkata kekalahan itu yang juga hampir pasti menjadi penampilan terakhir Piala Dunia bagi karier cemerlang Messi - amat mengecewakan.

"Sangat jelas kami tewas pada perlawanan itu kerana kesilapan kami sendiri, terutama pada babak kedua.

"Pada babak pertama kami harus menjaringkan lebih banyak gol. Namun ini adalah Piala dunia. Kini kami perlu berehat dan memikir mengenai perlawanan akan datang. Dua perlawanan itu kini menjadi perlawanan sangat penting bagi kami." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:59 PM