Kateryna Monzul mengadili saingan separuh akhir wanita antara Amerika Syarikat berdepan Kanada di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO Agensi
Kateryna Monzul mengadili saingan separuh akhir wanita antara Amerika Syarikat berdepan Kanada di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO Agensi
Agensi

London: Sepasukan pengadil wanita akan diberi tugas mengadili aksi kelayakan Piala Dunia membabitkan Andorra menentang England, awal pagi Ahad ini.

Pengadil dari Ukraine, Kateryna Monzul akan bertindak sebagai pengadil utama perlawanan sementara rakan senegara Maryna Striletska dan Svitlana Grushko dinamakan sebagai pembantunya.

Selain itu, Stephanie Frappart dari Perancis mengendalikan video bantuan pengadil (VAR).

Ia adalah kali pertama perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan senior lelaki England dikendalikan oleh sepasukan pengadil wanita.

Dua lelaki turut berada dalam senarai pengadil pasukan berkenaan dengan Denys Shurman sebagai pengadil keempat dan Viktor Matyash pembantu VAR.

Kateryna, 40, turut mengadili perlawanan Liga Negara-Negara antara San Marino berdepan Gibraltar tahun lalu, kali pertama pengadil pasukan wanita mengambil alih tugas pasukan lelaki senior antarabangsa.

Pada 2016, dia menjadi wanita pertama mengadili perlawanan divisyen utama lelaki di Ukraine dan mengadili Piala Dunia Wanita serta Kejuaraan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 9:57 PM