RONALDO menjaringkan gol kedua Juventus di  Stadium Allianz, Turin. FOTO AFP
RONALDO menjaringkan gol kedua Juventus di Stadium Allianz, Turin. FOTO AFP
AFP

Turin: Stephanie Frappart muncul wanita pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara ketika Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-750 dalam kariernya yang menyaksikan Juventus menewaskan Dynamo Kiev 3-0, awal pagi tadi.

Frappart yang berusia 36 tahun sebelum ini mencipta sejarah apabila bergelar pengadil pertama wanita di Ligue 1 dan mengadili final Piala Super Uefa 2019 membabitkan perlawanan Liverpool dan Chelsea. Dia turut tampil kali pertama di Liga Europa pada Oktober lalu.

Juara Itali itu sudah pun layak ke peringkat 16 terakhir bersama pendahulu Kumpulan G, Barcelona, namun masih boleh memintas gergasi Sepanyol yang tiga mata di hadapan apabila berkunjung ke Camp Nou, Selasa depan.

"Kami sedia untuk Barcelona," kata jurulatih Juventus, Andrea Pirlo yang skuadnya tewas 0-2 kepada Barca di Turin ketika Ronaldo tidak beraksi akibat koronavirus.

"Kami akan ke sana untuk menang tetapi terlebih dahulu perlu fokus aksi liga. Walaupun sudah layak, adalah penting bukan hanya untuk klasifikasi tetapi untuk kemajuan pasukan.

"Tetapi saya puas hati dengan permainan dan cara kami beraksi. Saya masih muda dan saya perlu perbaiki lagi seperti pemain tetapi saya dengan cara saya."

Juventus bergelut pada awal babak pertama ketika menentang kelab Ukraine itu yang turut tewas 0-2 pada perlawanan pertama di Kiev, 20 Oktober lalu.

Namun Federico Chiesa mencetuskan kemenangan dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-21 sebelum membantu Ronaldo dan Alvaro Morata menambah dua lagi gol pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 9:21 AM