STEPHANIE antara tiga daripada pengadil yang terbabit di Piala Dunia Qatar. FOTO Agensi
STEPHANIE antara tiga daripada pengadil yang terbabit di Piala Dunia Qatar. FOTO Agensi
AFP

Clairefontaine-en-Yvelines: Kehadiran tiga pengadil wanita di Piala Dunia di Qatar akan memberi 'petanda yang positif', kata salah seorang daripada mereka yang dipilih.

"Ia adalah petanda positif daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan pihak berkuasa untuk membariskan pengadil wanita di negara itu. Saya bukan jurucakap feminis, tetapi jika ini boleh membuat perkara berlaku..." kata pengadil Perancis, Stephanie Frappart.

Pengadil berusia 38 tahun itu adalah salah seorang daripada 36 pengadil yang dipilih untuk kejohanan yang berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember yang diadakan di Qatar.

Pengadil dari Rwanda, Salima Mukansanga dan Yoshimi Yamashita (Jepun) ialah dua lagi pegawai wanita yang terpilih.

Ditanya mengenai pilihan Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia walaupun ia kerap dikritik berhubung hak asasi manusia dan kedudukan wanita dalam masyarakatnya, Stephanie mengakui bahawa 'sukan sering memainkan peranan'.

"Saya bukan pembuat keputusan tuan rumah Piala Dunia. Pihak berkuasa sudah membuat pilihan mereka.

"Anda sentiasa sedar apabila anda seorang wanita di negara ini. Saya berada di sana tiga hingga empat minggu lalu dan saya diterima dengan baik," katanya.

Stephanie menetapkan banyak mercu tanda dalam kerjayanya – dia adalah pengadil wanita pertama yang mengadili Piala Super UEFA lelaki (Ogos 2019), Liga Juara-Juara (Disember 2020) dan di final Piala Perancis (Mei 2022).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 10:58 AM