Reuters

Doha: Perancis mahu mencari keseimbangan antara merehatkan pemain dan mengekalkan momentum Piala Dunia apabila mereka berdepan Tunisia pada perlawanan terakhir Kumpulan D esok.

Juara bertahan itu layak ke pusingan kalah mati dengan berbaki satu perlawanan selepas menang 4-1 ke atas Australia dan 2-1 mengatasi Denmark, jadi mereka hanya perlukan seri dengan Tunisia untuk muncul juara kumpulan.

Sekiranya mereka berakhir di tangga pertama, mereka akan berdepan naib juara Kumpulan C yang menampilkan Argentina, Arab Saudi, Poland dan Mexico.

Jurulatih Didier Deschamps dijangka merehatkan beberapa pemain utamanya dan memberikan pemain lain minit permainan di Stadium Education City.

Kylian Mbappe dijangka diletakkan di bangku simpanan namun penyerang sensasi itu memburu rekod di Qatar dan Deschamps mungkin memberikannya masa bermain untuk membantunya menambah bilangan tujuh gol di Piala Dunia - tiga daripadanya dijaringkan di negara Teluk itu.

Steve Mandanda pasti bermula sebagai penjaga gol dan Deschamps juga mungkin memberikan Jules Kounde masa untuk menyesuaikan diri di pertahanan kanan selepas dia menggantikan Benjamin Pavard yang mengecewakan bagi aksi menentang Denmark.

Keputusan terbesar Deschamps adalah sama ada Raphael Varane bermain atau tidak.

Pertahanan tengah itu pulih daripada kecederaan pangkal paha bagi perlawanan kedua dan digantikan pada babak kedua.

"Saya belum bercakap dengan jurulatih mengenainya. Kami akan memikirkan apa yang bagus buat pasukan terlebih dahulu, kemudian kami akan lihat apa yang terbaik buat saya.

"Perkara terbaik adalah mendapat peluang bermain sekalipun beberapa ketika tetapi kami akan berbincang dengan jurulatih mengenainya," kata Varane kepada wartawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 1:20 PM