LLORIS menahan kesakitan ketika menentang Brighton. - Reuters
LLORIS menahan kesakitan ketika menentang Brighton. - Reuters
AFP

PENJAGA gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris hampir pasti berehat panjang sehingga hujung tahun ini selepas mengalami kecederaan serius Sabtu lalu, menurut jurulatih Perancis, Didier Deschamps hari ini.

"Agak sukar menentukan bila dia kembali beraksi semula,” kata Deschamps ketika pemain Perancis bersiap sedia mengharungi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Iceland pada Jumaat ini dan Turki tiga hari kemudian.

"Yang merisaukan dia tidak akan bersama kami untuk perlawanan ini dan akan datang.” Perancis bakal berdepan Albania dan Moldova bulan depan.

Lloris mengalami kecederaan siku yang serius selepas terjatuh ketika Brighton menjaringkan gol pertama dalam perlawanan yang menyaksikan Spurs tewas 0-3.

Penjaga gol itu terpaksa diberikan bantuan pernafasan dan ubat penahan sakit sebelum diusung keluar dan dibawa ke hospital.

"Hampir pasti dia tidak kembali ke padang untuk 2019,” kata Deschamps.

Steve Mandanda akan mengambil alih tugas Lloris ketika menentang Iceland manakala Paulo Gazzaniga yang menggantikan Lloris pada Sabtu lalu dijangka meneruskan tugas bersama Spurs.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 10:29 PM