REAKSI Musiala selepas tamat perlawanan menentang Jepun.  FOTO Reuters
REAKSI Musiala selepas tamat perlawanan menentang Jepun. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jerman perlu meningkatkan keserasian jentera serangan baharu mereka selepas Kai Havertz dan pemain remaja, Jamal Musiala terlepas banyak peluang sehingga membolehkan Jepun menang mengejut 2-1 semalam.

Jerman mendahului hasil penalti babak pertama daripada pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan tetapi ketika mereka memerlukan penyerang Chelsea, Havertz dan gandingannya, Musiala untuk melebarkan jaringan, kedua-duanya gagal melaksanakan tugas.

Kesempatan itu dimanfaatkan Jepun dengan dua jaringan lewat menerusi Ritsu Doan dan Takuma Asano, kedua-duanya beraksi di Bundesliga untuk kemenangan sensasi ke atas juara dua empat kali itu.

"Sangat mengecewakan. Kami lebih menguasai bola dan berhak mendahului," kata jurulatih Jerman, Hansi Flick.

"Selepas itu kami mempunyai banyak peluang tapi gagal menyudahkannya. Kami tidak boleh meneruskan kesilapan ini."

Penyerang Bayern Munich, Musiala, 19, tampak gugup ketika babak awal permainan seperti seorang pemain remaja beraksi dengan lelaki dewasa.

Ketika perlawanan baru memasuki minit keempat di Stadium Khalifa, Musiala gagal mengawal bola dalam kawasan sendiri sehingga membolehkan Jepun melancarkan serangan balas dan mendapat sepakan sudut.

Lapan minit kemudian, dia cuba melepasi kawalan beberapa pemain Jepun dalam kotak penalti namun gagal mengawal bola dengan baik dan melepaskan rembatan melewati palang gol.

Havertz yang jaringannya dibatalkan kerana ofsaid pada lewat babak kedua turut gagal menyerlah dan Flick terpaksa memasukkan Niclas Fuellkrug dan Youssoufa Moukoko pada penghujung perlawanan untuk cuba menyelamatkan maruah Jerman.

Jerman akan berdepan juara 2010 Sepanyol yang membelasah Costa Rica 7-0 awal pagi tadi dan perlu lebih tajam di depan gol jika tidak mahu tersingkir di peringkat kumpulan kali kedua berturut-turut di Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 8:47 AM