AFP

Doha: Selepas hanya satu perlawanan di Piala Dunia, Jerman wajib menang apabila menentang Sepanyol awal pagi Ahad ini, pasukan yang tidak pernah ditewaskan mereka dalam saingan kompetitif sejak 1988.

Sebelum tewas mengejut 1-2 kepada Jepun dalam aksi pembukaan, pasukan itu dikritik selepas membuat pusingan U apabila enggan memakai lilitan pelangi 'OneLove' sebagai tanda sokongan kepada hak asasi manusia.

Barisan kesebelasan Jerman menutup mulut ketika sesi bergambar sebelum menentang Jepun sebagai isyarat mereka terpaksa mematuhi arahan Fifa.

Tetapi selepas Jepun menjaringkan dua gol ketika menewaskan skuad Hansi Flick, mereka dikritik pemerhati bola sepak kerana gagal fokus kepada perlawanan dan digesa tingkatkan prestasi jika tidak mahu tersingkir kali kedua berturut-turut di peringkat kumpulan Piala Dunia.

Semalam, penyerang Chelsea, Kai Havertz berkata pemain tetap yakin tetapi tahu cabaran getir seterusnya terutama Sepanyol yang membelasah Costa Rica 7-0.

"Semua orang tahu pandangan kami dan apa kami fikir," kata Havertz ketika sidang media. Fokus 100 peratus kepada bola sepak."

Dengan penaja Rewe menarik diri dan rating televisyen aksi menentang Jepun paling rendah di Jerman dalam kempen Piala Dunia sejak 30 tahun lalu, Havertz menyedari cabaran bukan sahaja di atas padang: "Saya tahu tidak semua orang di belakang kami."

Kepentingan aksi menentang Sepanyol di Stadium Al Bayt perlu dipandang serius dengan pengurus skuad kebangsaan dan pemenang Euro 1996 Oliver Bierhoff bertanyakan mengenai apa makna penyingkiran awal sekali lagi kepada masa depan bola sepak Jerman.

Bagi kapten Manuel Neuer, perlawanan awal pagi Ahad ini adalah 'peluang besar' sambil menegaskan pasukannya perlu menjadikan penyingkiran awal di Rusia sebagai satu pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 11:00 AM
PENYERANG Jerman, Thomas Mueller berlatih bersama rakan sepasukan di Stadium Al Shamal.
PENYERANG Jerman, Thomas Mueller berlatih bersama rakan sepasukan di Stadium Al Shamal.