RONALDO (tengah) ketika menjalani latihan bersama skuad Portugal di Lisbon. FOTO EPA
RONALDO (tengah) ketika menjalani latihan bersama skuad Portugal di Lisbon. FOTO EPA
Reuters

Lisbon: Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata, temu bual sensasi membabitkan Cristiano Ronaldo tidak mengganggu suasana di bilik persalinan ketika mereka bersiap menentang Nigeria di Lisbon, malam ini, yang juga perlawanan terakhir sebelum ke Piala Dunia.

Ketika ditanya sama ada komen Ronaldo terhadap kelabnya, Manchester United memberi kesan kepada persiapan pasukan ke Piala Dunia, Santos berkata, apa yang berlaku kepada pemain bintang itu tiada kaitan dengan skuad kebangsaan.

"Pemain itu membuat keputusan untuk ditemubual, sama seperti orang lain," kata Santos.

"Ia adalah temu bual peribadi, sangat peribadi sebenarnya dan kami harus menghormatinya.

"Bukankah Cristiano Ronaldo seorang lelaki yang bebas?. Ia adalah keputusannya dan kami harus faham serta menghormatinya."

Santos berkata, dia tidak mendengar pemain menyebut mengenai temu bual berkenaan sejak mereka melaporkan diri bersama pasukan, Isnin alu.

"Satu-satunya perkara yang kami sebut dan bincang adalah persiapan ke Qatar. Temu bual itu langsung tidak memberi kesan kepada kami," kata Santos.

Dia berkata, Ronaldo sedang pulih daripada masalah perut dan terlepas sesi latihan Rabu serta tidak diturunkan menentang Nigeria.

"Dia berada di bilik untuk berehat dan meneruskan proses pemulihan. Dia tidak akan berlatih dan diturunkan pada perlawanan persahabatan

"Saya sangat yakin dengan kumpulan pemain kali ini. Bukan hanya Ronaldo, tetapi semua pemain cukup fokus. Mereka memberi jaminan serta cita-cita besar di Piala Dunia kali ini."

Portugal berada dalam Kumpulan H bersama-sama Ghana, Uruguay dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 3:58 PM