Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah aksi Perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah aksi Perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Saya harap doktor dapat melakukan sesuatu untuk membanteras 'penyakit' ini  supaya tidak merebak sebagaimana Covid-19," kata jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pemainnya yang menerima kad merah ketika dua pertemuan dengan Terengganu FC (TFC) pada aksi Piala FA serta Liga Super pada Mei lalu.

Pada aksi Pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi, pemain tengah skuad The Bos Gaurus, Muhammad Firdaus Saiyadi dilayangkan kad merah pada minit ke-70 selepas dengan sengaja memukul kepala kapten TFC, Safawi Rasid.

Terdahulu pada aksi Liga Super 11 Mei lalu juga menentang TFC, pemain import Perak FC, Luiz Henrique diperintahkan keluar padang oleh pengadil, Suhaizi Shukri pada minit ke-76 kerana mengasari pemain tuan rumah.

"Saya tidak boleh 'control' pemain mendapat kad merah kerana mungkin keinginan yang tinggi untuk menang dalam perlawanan itu terutama berdepan dengan pasukan kuat sehinggakan mereka melakukan tindakan yang salah menyebabkan dihukum.

"Tapi sejujurnya saya tidak ajar pemain beraksi sedemikian, malah sepanjang karier saya sebagai pemain, agak sukar saya menerima kad, mungkin perkara itu berlaku dalam keadaan yang sama sebagaimana awal musim tahun lalu turut dilayangkan kad merah.

"Saya harap selepas ini pemain lebih banyak bersabar kerana layangan kad merah ini dilihat agak kasar selain ianya boleh merugikan pasukan terutama dalam perlawanan berformat kalah mati sebagaimana aksi pada malam ini (malam tadi).

"Saya bagi pihak kejurulatihan memohon maaf kerana dua pertemuan dengan TFC pada musim ini dua pemain kami menerima kad merah.

"Harap doktor saya dapat merawat 'penyakit' ini (menerima kad merah) supaya tidak merebak dan pada masa pemain perlu belajar dengan tidak mengikut emosi serta mengelak kejadian sama berulang," kata Yusri selepas berakhir perlawanan.

Pada perlawanan itu, corak permainan bertenaga yang diperagakan pemain Perak FC berjaya membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi rembatan padu Luiz Henrique.

Kapten TFC, Safawi Rasid berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum 'arkitek' skuad Penyu, Marin Pilj meledak gol kemenangan 2-1 sekali gus layak ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:44 PM