NAFUZI memeluk Sherman selepas perlawanan. FOTO FB TERENGGANU FC
NAFUZI memeluk Sherman selepas perlawanan. FOTO FB TERENGGANU FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Karektor positif dipamerkan setiap pemain membolehkan Terengganu FC (TFC) membawa pulang bekalan tipis menjelang aksi kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi, skuad bimbingan Nafuzi Zain itu menang 1-0 meskipun terpaksa bermain dengan 10 pemain selama 30 minit terakhir selepas penjaga gol, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah pada minit ke-62.

Ia adalah perlawanan kedua berturut-turut TFC bermain dengan 10 pemain apabila bek tengah yang juga kereta kebal mereka, Shahrul Nizam Ros Hasni dibuang padang ketika menentang Sri Pahang pada aksi kedua pusingan 16, Selasa lalu.

Nafuzi berkata, setiap pemain menunjukkan kekuatan karektor bagi menangani segala halangan ketika KL City diakui beraksi lebih baik daripada anak buahnya.

Malah, katanya, status hebat skuad The City Boys selaku juara bertahan Piala Malaysia musim lalu dan naib juara Piala AFC musim ini, serta beraksi di Cheras bukanlah perlawanan yang mudah.

"Alhamdulillah kita mendapat keputusan positif untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Memang dari awal lagi saya sudah menjangka perlawanan malam ini begitu sukar kerana kita tahu bagaimana KL City bermain di tempat sendiri serta juara bertahan tahun lalu.

"Apapun yang penting karektor pemain yang beri kemenangan kepada kita malam ini. Bukan senang bermain 10 pemain selepas penjaga gol kena kad merah dan perlawanan sebelum ini (ketika aksi pusingan 16 dengan Sri Pahang) pun kita main dengan 10 pemain.

"Karektor yang seolah-olah dahagakan kemenangan ditunjukkan pemain sampai ke wisel penamat. Walaupun diasak KL City, tapi kita bertahan dengan baik dan walaupun sesekali buat serangan, bagi saya 1-0 sudah cukup," katanya selepas aksi itu.

Jaringan penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman di minit ke-14 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan dan ia bakal memberi kelebihan buat skuad Penyu nanti.

Nafuzi berharap pemainnya agar dapat mengawal tekanan bagi mengelak daripada dilayangkan kad merah dalam aksi berikutnya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 3:09 PM