SALAH (kanan) meledak gol kemenangan Liverpool di Anfield awal pagi tadi. — FOTO Reuters
SALAH (kanan) meledak gol kemenangan Liverpool di Anfield awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

JUARA bertahan Liverpool mengatasi Red Bull Salzburg 4-3 pada aksi menarik Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas mensia-siakan kelebihan tiga gol di Anfield sebelum Mohamed Salah meledak gol kemenangan.

Salah membantu Liverpool menang aksi Kumpulan E itu menerusi gol keduanya pada minit ke-69, menafikan Salzburg satu mata selepas pemain remaja sensasi Erling Braut Haaland mengejutkan Reds apabila dia melengkapkan kebangkitan menakjubkan dengan gol ke-18 buatnya musim ini.

“Apabila kami mendahului tiga gol, kami perlu menyumbat gol keempat, kelima dan keenam. Ia agak teruk kerana kami berasakan ‘OK kami akan menang perlawanan ini’,” kata Salah kepada BT Sport.

Tuan rumah kelihatan tidak berdepan masalah pada minit ke-36 apabila bintang Mesir, Salah menokok gol Sadio Mane dan Andy Robertson, namun jaringan mengagumkan Hwang Hee Chan sejurus sebelum rehat memberikan Salzburg sekelumit harapan.

SALAH (kanan) mengatasi penjaga gol Salzburg, Cican Stankovic bagi gol ketiga pasukannya pada babak pertama. — FOTO Reuters
SALAH (kanan) mengatasi penjaga gol Salzburg, Cican Stankovic bagi gol ketiga pasukannya pada babak pertama. — FOTO Reuters

Dua gol dalam tempoh empat minit babak kedua sumbangan Takumi Minamino dan pemain gantian berusia 19 tahun Haaland menggamamkan penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun, Salah memusnahkan malam mereka dengan gol keenamnya musim ini dalam semua pertandingan, meletakkan Liverpool terikat tiga mata dengan Salzburg, satu mata di belakang Napoli yang seri tanpa jaringan di Genk.

“Mereka menyukarkan kami tapi kami gembira meraih tiga mata. Itu lebih penting,” jelas Salah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:40 AM