REAKSI kecewa Jesus ketika menentang Southampton.
REAKSI kecewa Jesus ketika menentang Southampton.
AFP

London: Gabriel Jesus memberi amaran kepada rakan sepasukannya di Arsenal supaya bangkit selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya mampu seri 1-1 di Southampton.

Jaringan awal Granit Xhaka membolehkan Gunners mendahului di St Mary namun skuad Mikel Arteta tercicir mata kali kedua selepas Saints menghukum kelonggaran pertahanan Arsenal pada babak kedua.

Penyerang Arsenal, Jesus himself sendiri terlepas beberapa peluang sebelum Stuart Armstrong menyamakan kedudukan 25 minit sebelum tamat perlawanan.

"Setiap orang agak kecewa kerana kami tahu kami boleh menang dan mendapat tiga mata," kata Jesus dalam laman web Arsenal.

"Saya fikir mereka beraksi dengan baik, tetapi kami lebih bagus daripada mereka. Kami banyak memberikan bola mudah kepada mereka dan kemudiannya kami gagal jaringkan gol apabila berpeluang."

Pemain Brazil itu berkata adalah penting Arsenal kembali mendapatkan momentum dan menjadikan keputusan seri itu satu pengajaran.

"Kami akan kembali kuat, bermain dengan cara kami seperti permulaan musim dan semuanya akan kembali normal.

"Kadang-kala anda mungkin merosot sedikit tapi anda perlu sedar dan bangkit. Itu yang kami perlu lakukan."

Arsenal yang akan meneruskan aksi liga menentang Nottingham Forest di tempat sendiri selepas kempen Liga Europa menentang PSV Eindhoven pertengahan minggu ini, kini hanya dua mata di depan pasukan di tangga kedua, City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 9:16 PM