JESUS (kanan) mempersiakan peluang untuk menjaringkan gol. FOTO EPA
JESUS (kanan) mempersiakan peluang untuk menjaringkan gol. FOTO EPA
AFP

London: Keputusan seri menyaksikan Arsenal yang sebelum ini memiliki kelebihan empat mata ke atas pasukan tempat kedua, Manchester City kurang kepada dua mata selepas penyandang juara itu menang ke atas Brighton & Hove Albion 3-1 Sabtu lalu.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kehilangan mata penuh buat kali kedua musim ini selepas hanya seri 1-1 dengan Southampton.

"Saya dapat merasakan kami akan kehilangan dua mata terutama sekali dengan cara kami memulakan perlawanan dan peluang yang kami miliki.

"Apabila anda melihat kembali peluang yang kami peroleh, kami sepatutnya mendahului perlawanan," kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.

Arsenal mendahului permainan hampir sejam selepas gol awal Granit Xhaka, dan mampu mengesahkan kemenangan sebelum babak kedua bermula.

Namun pasukan pelawat itu perlu menyalahkan diri sendiri selepas deretan peluang keemasan untuk menambah jaringan disia-siakan, terutamanya menerusi Gabriel Jesus dalam aksi di St Mary's itu.

Southampton memastikan peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan dimanfaatkan sepenuhnya dan ia hadir menerusi Stuart Armstrong ketika permainan berbaki 25 minit.

"Saya kecewa. Kami sepatutnya menjaringkan gol... di EPL, satu gol sahaja tidak pernah mencukupi.

"Kami mempunyai tiga atau empat peluang dan sepatutnya menambah jaringan. Kami perlu dua atau tiga gol, tetapi hanya satu disempurnakan.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal dimanfaatkan. Ia satu pengajaran kerana kami mahu menang kembali," kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 12:56 PM