DESCHAMPS yakin Perancis akan menyerlah di Qatar.
DESCHAMPS yakin Perancis akan menyerlah di Qatar.
London

Reuters: Pengurus Perancis Didier Deschamps berkata, dia tidak bimbang dengan keputusan buruk pasukannya sejak beberapa bulan lalu yang menyaksikan "Les Bleus" hanya menang sekali dalam enam aksi terakhir.

Skuad Deschamps menduduki tangga ketiga Liga A Kumpulan 1 dalam saingan Liga Negara-Negara selepas tewas kepada Denmark dan Croatia serta seri dengan Austria.

"Kami adalah juara bertahan Piala Dunia. Apabila anda berada di puncak, sukar untuk melakukannya dengan lebih baik," kata Deschamps dalam laman web Fifa.

"Ia normal kepada pasukan yang sedikit kemerosotan prestasi tetapi Perancis tetap mampu mengancam mana-mana pasukan Eropah atau dunia."

Perancis berada dalam Kumpulan D di Piala Dunia bersama Denmark, Australia dan Tunisia dengan Denmark dijangka ancaman terbesar kepada juara bertahan itu.

"Mereka pasukan sangat kuat tetapi kurang diawasi. Merka mempunyai kualiti individu dan kuat sebagai satu unit," kata Deschamps.

"Prestasi mereka pada Euro terakhir dan ranking dunia menunjukkan Denmark tidak boleh dipandang mudah."

Pengendali berusia 54 tahun itu yang meraikan ulang tahun ke-10 mengendalikan Perancis pada musim panas ini turut memberi amaran mengenai dua lagi pasukan terutamanya Australia yang menyingkirkan Peru pada aksi playof kejohanan.

"Tidak banyak kami tahu kekuatan Tunisia namun ramai pemain mereka beraksi di sini. Kami sedar ia kejohanan paling sukar, jadi kami perlu pastikan prestasi kami lebih baik berbanding pasukan lain," kata Deschamps.

Perancis memulakan kempen menentang Australia pada 22 November sebelum menentang Denmark empat hari kemudian dan Tunisia pada 30 November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 8:51 AM