DESCHAMPS bersama trofi Piala Dunia ketika majlis undian. FOTO Reuters
DESCHAMPS bersama trofi Piala Dunia ketika majlis undian. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurualatih Perancis, Didier Deschamps berkata juara bertahan itu 'sangat menghormati' Denmark selepas kedua-duanya diundi dalam kumpulan Piala Dunia yang sama.

"Anda perlu mempunyai rasa hormat yang tinggi. Mereka adalah pasukan di ranking ke-11, mara ke separuh akhir di Euro dan jika mereka mendahului Jerman dan Belanda, ia membuktikan kualiti pasukan ini," kata Deschamps.

Pertemuan Perancis dan Denmark bukan lagi asing kerana mereka juga akan bertemu di Liga Negara-Negara pada Jun sehingga September sebelum Piala Dunia bermula pada November.

"Saya tidak tahu sama ada ia sesuai atau tidak. Mereka juga akan mendapat kelebihan untuk lebih mengenali kami.

"Kedua-dua pertemuan di Liga Negara-Negara itu akan berlangsung pada Jun dan September," kata Deschamps.

Kedua-dua pasukan bertemu pada Piala Dunia 2002 yang menyaksikan Denmark mengejutkan Perancis yang juga juara bertahan 2-0 di Korea Selatan, kekalahan yang menyaksikan Perancis tersingkir seawal pusingan pertama.

Mereka juga bertemu pada edisi 2018 yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0 di Moscow.

Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand pula memberi amaran kepada Perancis supaya bersedia menghadapi pertembungan sukar menentang pasukannya yang akan memberi saingan sengit.

"Kami akan bertemu dua perlawanan dalam Liga Negara-Negara menentang mereka, jadi akan ada tiga pertemuan dalam tempoh lima bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 9:22 AM