AIDIL Sharin mahu pemainnya buktikan kemampuan mereka. FOTO KDA FC
AIDIL Sharin mahu pemainnya buktikan kemampuan mereka. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu mengakhiri musim Liga Super 2022 dengan mencatat kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, malam esok.

Ketua Jurulatih skuad Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau berharap pemainnya tidak patah semangat selepas gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan yang dilalui sebelum ini iaitu ketika bertemu PJ City FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NFC).

"Memang sukar untuk diterima selepas tidak mengutip mata pada empat perlawanan lalu yang menyebabkan Kedah terkeluar dari kelompok lima pasukan teratas liga pada ketika ini.

"Jadi saya mahu semua pemain agar berjuang berhabis-habisan pada perlawanan terakhir liga super di laman sendiri ini dengan mendapatkan kemenangan yang sangat diharapkan penyokong.

"Saya percaya pemain sudah berusaha pada tahap yang mereka mampu sebelum ini, namun keazaman sahaja tidak cukup jika tidak dapat mencapai kemenangan," katanya.

Aidil juga berkata, walaupun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, beliau mahu skuadnya kekal berdisiplin dan berwaspada dengan ancaman daripada TFC yang juga sedang mengejar kedudukan kedua dan ketiga Liga Super musim ini.

"TFC yang kini berada pada momentum dan kedudukan yang baik dalam merebut slot ke peringkat saingan Piala AFC musim depan sudah pasti bakal memberi saingan dan cabaran yang hebat buat kami.

"Namun saya sangat berharap pemain dapat merebut setiap peluang yang kami ada dengan beraksi di laman sendiri untuk sekurang-kurangnya mengakhiri saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 11:20 AM