Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyifatkan kejayaan pasukannya melakar kemenangan besar menumpaskan Melaka United FC (MUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi bakal menambah lagi motivasi anak buahnya menjelang aksi final Piala FA, Sabtu ini.

Jurulatih muda berusia 44 tahun itu turut percaya prestasi anak buahnya bakal meningkat sebelum berdepan dengan gergasi Liga Malaysia ( Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, pada masa sama kejayaan mengutip tiga mata penuh itu juga menyaksikan gergasi Pantai Timur itu turut berpeluang untuk menamatkan kedudukan dalam carta Liga Super musim ini sekurang-kurangnya di tempat ketiga.

"Tiga mata yang begitu berharga bagi merapatkan kedudukan dengan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berada di tangga ketiga liga dengan berkelebihan tiga mata berbanding TFC.

KETUA jurulatih Terengganu FC,  Nafuzi Zain. FOTO Ghazali Kori
KETUA jurulatih Terengganu FC,  Nafuzi Zain. FOTO Ghazali Kori

"Jadi ini bagus buat kita pada masa sekarang untuk memburu sekurang-kurangnya tiga tempat teratas, peluang masih terbuka, yang penting kita tidak boleh keciciran mata lagi, lagipun sejak bergelar ketua jurulatih TFC, ini kali pertama pasukan berjaya melakar kemenangan ke atas pasukan itu.

"Selain itu kemenangan ini juga bakal meningkatkan lagi semangat dan motivasi pemain untuk berdepan dengan JDT pada aksi final Piala FA hujung minggu ini," katanya yang akui gol kedua menyuntik lagi keyakinan pemainnya dalam perlawanan itu.

Dalam perlawanan yang dihadiri hampir 7,000 peminat setia TFC, skuad itu berpesta gol selepas menumbangkan skuad kendalian Asri Ninggal 5-0 dengan penyerang, Kipre Tchetche meledak hatrik manakala dua gol lagi dihasilkan penyerang kelahiran Liberia, Kaph Sherman dan pemain pinjaman, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Mengulas lanjut, bekas penyerang Terengganu itu berkata, beliau juga gembira kombinasi Tchetche dan Sherman kembali menemui sentuhan jaringan.

"Keupayaan Tchetche dan Sherman yang meledak gol bagus buat mereka untuk tingkatkan motivasi mereka dan pasukan, lagipun kami sudah lama tidak merakam kemenangan yang besar ini," kata jurulatih kelahiran Kelantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 1:50 PM