Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas tiga musim bergelar ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain membayangkan beliau akan berhijrah bersama pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Lebih mengukuhkan lagi situasi apabila sehingga kini pengendali kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu belum lagi 'diikat' Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

Bagaimanapun Nafuzi menjelaskan, beliau belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada akan 'berpisah' dengan peminat TFC ataupun sebaliknya selain masih berahsia pasukan yang bakal dibimbing musim depan kerana fokusnya untuk membantu pasukan mara ke pentas final Piala Malaysia dan layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan.

Pada aksi menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi, peminat setia skuad Penyu memasang kain rentang tertera #NAFUZI STAY dengan harapan bekas penyerang Terengganu itu kekal membimbing TFC musim depan.

"Saya begitu terharu dan berterima kasih kepada peminat setia TFC yang menyokong saya dari awal musim lagi, atas sokongan penyokonglah saya berada disini. Ini satu penghargaan besar kepada saya dan sampai sekarang pun mereka tetap menyokong dan bersama dengan saya.

"Tapi saya tidak menolak kemungkinan besar musim ini tahun terakhir saya bersama TFC, itu sahaja yang boleh saja jelaskan setakat ini, maknanya berkemungkinan besar saya akan berhijrah bersama pasukan lain.

PENYOKONG TFC bersama kain rentang yang ditujukan kepada Nafuzi. FOTO Ghazali Kori
PENYOKONG TFC bersama kain rentang yang ditujukan kepada Nafuzi. FOTO Ghazali Kori

"Saya di sini pun (bersama TFC) belum mendapat apa-apa lagi tawaran, jadi sebagai jurulatih demi karier saya untuk membuat persediaan awal, inilah masa sesuai untuk saya mencari pengalaman baharu bagi mengembangkan lagi karier sebagai jurulatih," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan itu.

Pada perlawanan yang memihak kepada TFC 3-0 itu, pemain sayap lincah, Mohd Faisal Halim membuka tirai jaringan sebelum kapten, Kipre Tchetche meledak dua gol sekali gus memaksa skuad Harimau Kumbang kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan pulang penuh kehampaan dengan kekal di tangga tercorot liga.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia untuk kekal bersama TFC jika ada tawaran daripada pihak pengurusan, jurulatih berusia 44 tahun itu enggan mengulas lebih lanjut.

"Berkemungkinan tahun terakhir saya, mungkin terjadi, jadi kita lihat nanti macam mana, tapi saya sangat sayangkan Terengganu, keluarga saya pun suka tinggal di sini.

"Tapi demi karier, saya perlu cari cabaran baharu, cukuplah rezeki saya selama ini di sini (Terengganu), ada pahit dan manis, apa-apapun saya akan berusaha memberikan yang terbaik buat TFC untuk layak ke final Piala Malaysia dan pentas Asia," katanya yang bermula sebagai ketua jurulatih Piala Presiden T-Team pada 2016 sebelum dilantik penolong jurulatih Terengganu bermula 2017 hingga 2019, kemudian pengendali TFC bermula 2020.

Mengulas perlawanan menentang Penang FC, Nafuzi menjelaskan pada awalnya beliau cukup risau kerana pasukannya baharu tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA, Sabtu lalu.

"Tapi ketika perlawanan saya percaya dengan karakter dan usaha yang ditunjukkan pemain bermula awal permainan lagi kita mendominasi permainan sehingga berjaya menjaringkan tiga gol.

"Kunci kemenangan adalah sikap pemain yang beraksi bersungguh-sungguh kerana misi kami adalah untuk layak beraksi di pentas Asia selain memburu tempat ke final Piala Malaysia, jadi disitulah mereka membuktikan kemampuannya, jadi dengan baki empat perlawanan lagi, pemain perlu bekerja lebih keras lagi untuk mencabar kedudukan ketiga terbaik liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 11:36 AM