Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Melaka United FC (MUFC), Asri Ninggal 'kunci mulut' ketika ditanya mengenai baki tonggak importnya selepas hanya menurunkan seorang tenaga asing ketika berdepan dengan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Malah dalam senarai pemain simpanan, empat lagi tonggak import skuad Hang Tuah itu iaitu Sony Norde, Adriano Narcizo, Justin Baas dan Emmanuel Oti juga tidak ada sekali gus menimbulkan persoalan.

Berdasarkan riak wajahnya, jurulatih berpengalaman itu dilihat tidak mahu berbicara mengenai pemain importnya selain jelas kecewa kerana hanya mampu menurunkan penyerang berbisanya, Ifedayo Olusegun.

Berikutan itu, jentera serangan skuad MUFC dilihat tumpul dengan hanya tiga percubaan tepat dimiliki skuad Hang Tuah itu ketika pasukannya mudah diratah skuad kendalian Nafuzi Zain, 5-0.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu (baki pemain import), sebelum ini kita beraksi dengan baik.

"Tapi malam ini (malam tadi) kita perlu beraksi dengan pemain yang ada tanpa pemain import yang lengkap, jadi kita gagal mempamerkan aksi sebenar," katanya ringkas ketika ditemui selepas berakhir perlawanan itu malam tadi.

ASRI Ninggal pada sidang media. FOTO Ghazali Kori
ASRI Ninggal pada sidang media. FOTO Ghazali Kori

Mengulas kekalahan memalukan itu, beliau menerimanya dengan hati yang terbuka walaupun akui terkilan selepas gagal mendapat keputusan yang positif di tempat lawan.

"Saya perlu terima kekalahan besar pada malam ini (malam tadi) dengan hati yang terbuka kerana kita bermain dengan hanya seorang pemain import berbanding TFC membariskan lima import, mereka (TFC) bermain dengan baik ditambah moral mereka tinggi menjelang aksi final Piala FA Sabtu ini.

"Kemenangan TFC ini juga ditambah pemain kami tidak beraksi sebagaimana yang diharapkan kerana kekuatan kita bukan kekuatan sebenarnya, tapi mereka sudah mencuba yang terbaik.

"Namun sebagai jurulatih, perasaan terkilan tetap ada sebab kami tidak mendapat keputusan yang positif walaupun

sebenarnya kita tahu beraksi dengan TFC bukan tugas yang mudah, lagipun momentum mereka tinggi," katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi TFC, Kipre Tchetche hanya mengambil masa 13 minit untuk mencipta hatrik manakala dua gol lagi disumbang rakan seposisinya, Kpah Sherman dan pemain sayap pinjaman Selangor FC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 11:36 AM