Penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche kembali perkuatkan pasukan Terengganu FC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche kembali perkuatkan pasukan Terengganu FC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bagaikan sirih pulang ke gagang, inilah peribahasa tepat yang boleh digambarkan kepada penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche yang kembali menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC) musim depan.

Pemain berusia 34 tahun itu bakal mengetuai serangan skuad kendalian Nafuzi Zain bersama gandingannya ketika menyarung jersi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman yang sudah 'dirantai' skuad Penyu minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, berkata, Tchetche secara rasmi telah menandatangani kontrak bersama TFC bagi musim 2022 dengan memakai jersi bernombor 23 sebagaimana ketika menyarung jersi TFC sebelum ini.

"Kehadiran pemain yang tidak asing lagi bagi penyokong TFC itu dalam skuad utama sudah pasti bakal memberikan saingan sengit kepada semua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

"Kami mengharapkan pemain itu mampu membuktikan kelibatnya masih berbisa sekali gus dapat membantu pasukan memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim depan selain memburu tiket ke pentas Piala AFC 2023," katanya.

Sementara itu Tchetche yang mula beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) sejak musim 2017 menjelaskan faktor jurulatih menjadi daya penarik buatnya untuk kembali ke Terengganu.

"TFC adalah pasukan pertama saya dalam Liga M, saya juga pernah dilatih Nafuzi ketika beliau menjadi penolong jurulatih Irfan Bakti Abu Salim pada 2018 dan pemangku ketua jurulatih pada pertengahan musim 2019.

"Jadi sudah pasti perasaan rindu untuk kembali ke Terengganu dan menyarung jersi skuad TFC menebal terutama selepas melihat prestasi dan corak permainan pasukan bawah bimbingan jurulatih itu kian meningkat, tambahan pula ramai pemain muda juga semakin matang.

"Justeru saya fikir sudah tiba masanya untuk kembali bersama pasukan itu kerana ada misi yang belum diselesaikan," kata Tchetche yang dijangka bakal digandingkan dengan Sherman di posisi serangan.

Berdasarkan rekod, bekas tonggak kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman sebelum menyertai TFC bermula Jun 2017 hingga 2019 bagi menggantikan penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone tidak menunggu lama untuk mencipta nama apabila berjaya membantu TFC muncul naib juara Liga Perdana pada tahun berkenaan sekali gus layak beraksi dalam Liga Super 2018.

Tchetche juga berjaya membantu skuad Penyu itu muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun 2018 sebelum berkelana ke Kedah selama dua musim mulai 2020.

Sepanjang bersama TFC, Tchetche sudah menyumbang 29 gol dalam 51 penampilan manakala 17 jaringan dengan 32 penampilan bersama KDA FC, melihat rekod itu dia boleh dikategorikan antara penyerang import terbaik dalam kancah Liga M.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 2:52 PM