PENYOKONG KL City FC dan PSM Makassar bergaduh termasuk ada yang membaling kon plastik, mercun dan batu.
PENYOKONG KL City FC dan PSM Makassar bergaduh termasuk ada yang membaling kon plastik, mercun dan batu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Budaya samseng bola sepak terus berlaku dan terbaru berlaku kekecohan di perkarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebaik tamat perlawanan final Piala AFC Zon Asean, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kuala Lumpur City FC (KL City) menewaskan PSM Makassar, 5-2, namun tercetus pergaduhan membabitkan penyokong tuan rumah dan pelawat.

Malah, dikhabarkan bas yang membawa penyokong PSM Makassar dilontar dengan batu menyebabkan kenderaan itu rosak.

Beberapa individu yang berada di pekarangan stadium terbabit memaklumkan, kekecohan bermula apabila terdapat 'samseng bola sepak' melakukan provokasi antara satu sama lain sebelum mereka 'bertinju'.

Tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengelak kejadian lebih buruk berlaku sebelum penyokong kedua-dua pasukan bersurai.

Insiden itu tidak ubah seperti yang berlaku pada dua perlawanan Liga Malaysia membabitkan penyokong Melaka United dan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini.

Malah, kejadian sama turut berlaku di Stadium Sultan Muhammad ke IV antara penyokong Kelantan FC dan Perak FC, sekali gus memerlukan tindakan segera daripada pihak berkaitan bagi menangani masalah budaya samseng bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 1:40 PM