BEBERAPA penyokong bertumbuk pada perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.
BEBERAPA penyokong bertumbuk pada perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima laporan lengkap daripada komisioner perlawanan membabitkan insiden pergaduhan penyokong, baru-baru ini.

Ia membabitkan perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu serta aksi Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Kota Bharu, Rabu lalu.

Ini bermakna, akan ada pasukan yang dikenakan tindakan susulan seperti denda disebabkan budaya samseng bola sepak atau lebih dikenali dengan 'hooligan' dilakukan segelintir penyokong mereka itu.

Mengesahkan situasi itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, laporan terbabit sudah diserahkan kepada jawatankuasa tatatertib untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan kepada laporan terbabit kemungkinan besar pasukan bersalah akan dikenakan tindakan lanjut, sekali gus memberi pengajaran kepada penyokong masing-masing supaya menjaga tingkah laku ketika hadir ke stadium.

"Saya mengesahkan sudah menerima laporan penuh daripada komisioner perlawanan dan boleh katakan pasukan yang didapati bersalah sudah tentu akan menerima akibatnya.

"Hukuman akan dikenakan itu sebagai pengajaran terutama kepada penyokong supaya jangan bertindak sewenang-wenangnya kerana pasukan mereka akan menerima kesan daripada perbuatan itu.

"Malah, kami mahu mengekang budaya samseng daripada terus meresap di kalangan penyokong yang akhirnya akan memburukkan imej bola sepak negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi bayangan kawalan lebih ketat bakal dilaksanakan pada baki perlawanan Liga Malaysia akan datang bagi membendung budaya 'hooligan' terus meresap di kalangan penyokong bola sepak tanah air.

MFL melihat venue bola sepak ketika ini sudah bertukar kepada 'gelanggang gusti' membabitkan segelintir penyokong pasukan Liga Malaysia, sekali gus badan pengurusan liga itu perlu melakukan sesuatu sebelum situasi terbabit bertambah parah.

Mengikut rekod, budaya samseng bola sepak atau lebih dikenali dengan 'hooligan' tampaknya tidak pernah berakhir apabila terbaharu insiden pergaduhan tumbuk menumbuk antara penyokong Melaka United dan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.

Menerusi satu video tular di media sosial, kelihatan penyokong kedua-dua pasukan menendang satu sama lain di hujung permainan yang menyaksikan Sri Pahang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat tuan rumah 2-2.

Malah insiden itu yang kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu apabila turut berlaku kekecohan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Rabu lalu antara penyokong Kelantan FC dan Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 3:09 PM