PENYOKONG Perak diarah berkumpul di padang di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. GAMBAR NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENYOKONG Perak diarah berkumpul di padang di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. GAMBAR NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalankan siasatan terhadap insiden rusuhan yang berlaku antara penyokong Kelantan FC dan Perak FC, semalam.

Presidennya, Mohd Nurul Mohd Yusoh berkata, siasatan mestilah berpandukan kepada laporan penuh daripada pegawai perlawanan yang bertugas semasa aksi Liga Perdana itu berlangsung.

Katanya, kedua-dua badan bola sepak itu perlu mendapatkan laporan penuh tuan rumah dan pelawat untuk mengetahui punca yang mencetuskan insiden itu sebelum membuat keputusan.

"Siasatan perlu adil dan bebas supaya menjaga keharmonian sukan bola sepak negara.

"Kami menaruh kepercayaan penuh kepada kedua-dua badan bola sepak ini untuk mengendalikan kes ini," katanya dalam kenyataan kepada media.

Mohd Nurul berkata, semua pihak menolak budaya hooligan atau samseng dalam bola sepak.

Semalam, perlawanan antara Kelantan FC dan Perak FC bertukar ganas apabila penyokong kedua-dua pasukan bertindak membaling mercun dan batu di dalam kawasan padang dan melarat ke luar stadium.

Provokasi melampau itu turut menimbulkan kekecohan apabila bas yang membawa pemain pelawat turut pecah akibat dibaling objek keras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 8:52 PM