AKSI pergaduhan antara penyokong Melaka United dan Sri Pahang.
AKSI pergaduhan antara penyokong Melaka United dan Sri Pahang.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Budaya samseng bola sepak atau lebih dikenali dengan 'hooligan' tampaknya tidak pernah berakhir apabila terbaharu insiden pergaduhan tumbuk menumbuk antara penyokong Melaka United dan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Menerusi satu video viral di laman sosial, kelihatan penyokong kedua-dua pasukan menendang satu sama lain di hujung permainan yang menyaksikan Sri Pahang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat tuan rumah 2-2.

Malah insiden itu sebenarnya adalah yang kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu apabila turut berlaku kekecohan penyokong di Stadium Sultan Muhammad ke IV pada Rabu lalu antara penyokong Kelantan FC dan Perak FC.

Dalam kejadian itu, penyokong Red Warriors 'mengamuk' dengan membaling batu dan mercun selepas mendakwa penyokong pelawat membuat provokasi melampau.

Kedua-dua insiden itu cukup memalukan imej bola sepak tempatan dan juga Malaysia di mata luar ketika dunia tanpa sempadan ini boleh mencapai maklumat menerusi video kejadian itu sekali gus mencemarkan maruah Liga Malaysia (Liga M).

Sebenarnya untuk musim ini, insiden pergaduhan ini adalah yang keempat berlaku selepas pada Mac lalu ia turut berlaku dengan Arena Metro sebagai badan media cuba membantu dengan mencari solusi untuk mengatasi masalah ini.

Menerusi laporan demi laporan hinggalah kepada cadangan untuk menganjurkan kempen dan semangat kesukanan di kalangan penyokong dipandang sebelah mata, sama ada dari pihak kelab mahupun pengelola Liga M.

Lantas sekarang, budaya hooligen ini kembali menular dan ia perlu ditangani segera tatkala Liga M kini sudah dinobatkan sebagai liga terbaik Asean dan keempat liga terbaik Asia Timur berdasarkan kepada mata ranking kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 2:44 PM