PEMAIN UiTM menjulang piala selepas muncul juara Liga Futsal IPT 2023. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN UiTM menjulang piala selepas muncul juara Liga Futsal IPT 2023. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 selepas membenam Kolej Poly-Tech MARA Bangi (KPTM Bangi) 3-2 pada aksi terakhir di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Pertembungan dua pasukan yang pada asalnya sekadar dipisahkan dengan satu mata itu terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Kapten UiTM, Muhammad Aidil Izwan Mazlan membuka akaun jaringan pasukannya pada minit ke-22 diikuti gol kedua oleh Muhamad Syauki Ahmad Puad pada minit ke-23.

KPTM Bangi bangkit meledak gol pertama mereka menerusi Muhammad Rusyazwi Mohd Rodzi pada minit ke-28.

Namun, kegembiraan KPTM Bangi tidak bertahan lama apabila Ahmad Azrai Afiq Awang mencetak gol ketiga kem UiTM pada minit ke-30.

Skuad KPTM Bangi nyata tidak mudah mengalah apabila menyumbat gol kedua menerusi Arif Aiman Hakimie Nor Asmadi pada minit ke-35, namun keputusan kekal sehingga perlawanan tamat.

Ketua Jurulatih UiTM, Addy Syairullyzam Mohd Shafiee menyifatkan kejuaraan buat kali kelapan itu amat bermakna buat pasukan selepas menamatkan cabaran Liga Futsal IPT di tangga kedua, tahun lalu.

"Alhamdulillah apa yang kami rancang menjadi dan saya berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan pemain dalam memburu kemenangan.

"Meskipun tahun ini kami akan kehilangan beberapa pemain yang akan menamatkan pengajian, tetapi saya optimis dapat meneruskan prestasi cemerlang ini tahun depan," katanya yang telah mengemudi pasukan futsal UiTM selama 14 tahun.

Keputusan itu menyaksikan skuad UiTM mengekalkan rekod tanpa kalah dengan melakar 14 kemenangan dan empat kali seri.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KPTM Bangi, Mohammad Syafique Faudzil berpuas hati anak buahnya memberi tentangan sengit kepada lawan yang disifatkannya lebih berpengalaman.

"Ramai pemain mereka bermain dalam MPFL (Liga Futsal Premier Malaysia) dan pemain kami semuanya pelajar diploma.

"Kami berjuang habis-habisan meskipun lawan mereka jauh lebih berpengalaman.

"Pasukan kami baru dibentuk tiga tahun dengan lebih 50 peratus yang bermain musim ini adalah muka baharu yang dicungkil bakat mereka awal tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 8:07 PM