SKUAD UiTM kini menghuni carta teratas Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 dengan rekod tanpa kalah. Foto Ihsan Liga Futsal IPT 2023
SKUAD UiTM kini menghuni carta teratas Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 dengan rekod tanpa kalah. Foto Ihsan Liga Futsal IPT 2023
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Poly-Tech Mara Kampus Bangi (KPTM Bangi) bakal berentap di final Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia, esok.

Pengarah Kejohanan Liga Futsal IPT, Asyraff Fitri Asbollah berkata, ketika ini pasukan UiTM menghuni carta teratas kategori Liga Super dengan mengutip 43 mata manakala KPTM Bangi mengumpul 42 mata selepas 17 perlawanan.

"Kami jangka ia menjadi perlawanan sengit kerana kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan satu mata.

"Pastinya ada elemen kejutan buat penonton kerana apa sahaja boleh berlaku dalam pertembungan kemuncak yang dijadual berlangsung tengah hari esok," katanya.

Skuad UiTM mengekalkan rekod tanpa kalah dengan 13 kemenangan dan empat kali seri manakala KPTM Bangi melakar 13 kemenangan selain tiga kali seri dengan hanya satu kekalahan.

Sementara itu, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menamatkan kejohanan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu di tangga ketiga.

Keputusan itu dilihat cukup bermakna buat UPSI yang merekodkan 10 kemenangan musim ini setelah kembali menyertai Liga Super susulan kejayaan mengungguli Liga Premier musim lalu.

Asyraff Fitri berkata, Liga Futsal IPT Fasa Keempat yang memasuki hari ketiga menyaksikan perlawanan terakhir 10 pasukan kategori Liga Premier dan lapan pasukan Liga Wanita selesai, petang ini.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sah bergelar juara Liga Premier, sekali gus layak menempah slot Liga Super musim hadapan.

"Menariknya, pada edisi ke-13 kali ini buat julung kalinya, kami memperkenalkan format liga bagi kategori wanita yang mengambil masa hampir setahun untuk disempurnakan berbanding bermain secara karnival hanya selama kira-kira seminggu sebelum ini.

"Apabila dianjurkan secara karnival, mereka kurang menyerlah. Justeru, saya percaya perubahan format ini dapat membantu mencungkil bakat pemain berpotensi dengan lebih berkesan untuk diserap dalam pasukan kebangsaan," jelasnya.

Terdahulu, perlawanan akhir itu menyaksikan pasukan wanita UPSI mengikat juara bertahan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan seri tanpa jaringan.

Namun, pasukan wanita UPNM yang mengutip 37 mata secara keseluruhan menepati ramalan apabila muncul juara buat kali kedua-dua berturut-turut manakala UiTM menduduki tangga kedua dan UPSI tempat ketiga.

Jurulatih pasukan wanita UPSI, Muhammad Haffiz Shafiee, berpuas hati dengan keputusan itu setelah lima tahun skuad berkenaan tidak menaiki podium dengan sekadar menduduki tangga kelima, tahun lalu.

"Saya bangga dengan prestasi pasukan yang baru dibentuk pada penghujung tahun lalu dengan pemain dari pelbagai fakulti termasuk seni teater, linguistik dan geografi.

"Ini perkembangan bagus untuk UPSI kerana kami tidak mengharapkan pelajar dari Fakulti Sains Sukan semata-mata," katanya.

Perlawanan akhir esok turut menyaksikan pertembungan lapan lagi pasukan Liga Super termasuk Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaya (UM) dalam melengkapkan jadual Liga Futsal IPT 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 8:32 PM