SKUAD hoki lelaki UPSI juara SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
SKUAD hoki lelaki UPSI juara SUKIPT 2022. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Selepas lima edisi sukan hoki dipertandingkan dalam temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), akhirnya skuad hoki lelaki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul gelaran juara buat julung kalinya.

Skuad hoki lelaki UPSI muncul juara SUKIPT edisi kali ini selepas menundukkan lawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, pagi tadi.

Jurulatihnya, Ahmad Nizam Yusof berpuas hati dengan hasil usaha yang dipamerkan anak buahnya selama ini selain menyifatkan ini adalah kejayaan paling manis buatnya sepanjang mengendalikan pasukan itu.

"Kita tahu UPM adalah pasukan yang disegani dengan barisan pemain mereka yang hebat. Tapi, pasukan kami pun tak kurang hebat juga dan setiap pemain cukup berdisiplin.

"Kejayaan ini juga mencipta sejarah buat UPSI disebabkan ini kali pertama kami masuk final dan kali pertama dapat pingat emas sepanjang lima edisi SUKIPT," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Tambah Ahmad Nizam, kejayaan skuad hoki lelaki UPSI kali ini dipacu dengan disiplin serta semangat juang tinggi daripada barisan pemain.

"Alhamdulillah mereka ikut sebagaimana perancangan yang sudah ditetapkan dan berjaya mengawal permainan dengan baik.

"Kredit kepada pemain kerana mereka bermain bermati-matian dalam temasya kali ini. Itu adalah rahsia kemenangan kali ini," katanya.

Sementara itu, skuad hoki wanita dari Universiti Teknologi Nasional (UNITEN) mengesahkan kejuaraan mereka selepas menewaskan skuad UPM 1-0, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 1:28 PM